mutakhir

Pergiat operasi 'terjah'

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Cawangan Wilayah Persekutuan akan mempergiatkan operasi ‘terjah’ terhadap 941 koperasi di bawah seliaannya.

Pengarahnya, Datuk Abdullah Mahmood berkata, usaha itu bukan bertujuan mencari kesilapan yang dilakukan ahli lembaga atau pengurusan koperasi tetapi lebih kepada sesi ramah mesra dan berkenalan dengan mereka yang terbabit dalam urus tadbir serta kepimpinan sesebuah koperasi.

“Pihak kami cuma mahukan operasi koperasi di Kuala Lumpur berjalan lancar dan tidak melanggar peraturan yang termaktub dalam undang-undang penubuhan koperasi.

“Buat masa ini, setiap koperasi yang berdaftar di Kuala Lumpur perlu menghantar minit mesyuarat, penyata kewangan dan aliran tunai serta aktiviti setiap bulan untuk kami pantau,” katanya ketika lawatan kerja ke Koperasi The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Koperasi NSTP Mohd Fadzil Abdul Ghani.

Koperasi NSTP yang mempunyai 2,652 anggota setakat Disember 2015 adalah koperasi keempat yang dilawati pihak SKM Wilayah Persekutuan pada tahun ini.

Sementara itu, Abdullah memuji tindakan koperasi NSTP yang mempelbagaikan perkhidmatan seperti skim pembiayaan, skim perlindungan insurans, Ar-Rahnu X-Change, kedai runcit (Coop Mart) dan pakej pelancongan serta kereta sewa kepada ahli.

“Inilah kita mahukan daripada pihak koperasi yang berani menceburkan diri dalam pelbagai bidang perkhidmatan,” katanya.

Disiarkan pada: February 4, 2016 @ 7:00am
d