mutakhir

Krim lendir haruan

Oleh Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Sekumpulan penyelidik dari Universiti Sains Malaysia (USM) menghasilkan krim penyembuh luka yang diekstrak daripada lendir ikan haruan.

Produk yang dikenali sebagai Mu-Derm: Krim Sapuan Angiogenic Penyembuh Luka itu berasaskan mekanisme pembentukan saluran darah yang baru bagi mempercepatkan sembuhan luka.

Penyelidik dari Pusat Pengajian Sains Farmasi USM Prof Dr Amin Malik Shah Abdul Majid berkata, selain lendiran ikan haruan, Mu-Derm turut dihasilkan menggunakan bahan semula jadi iaitu madu dan minyak kelapa dara.

Beliau berkata, ia mampu merawat luka pada kadar 50 peratus lebih pantas berbanding mengambil produk atau memakan ikan haruan berkenaan dan pada masa sama, Mu-Derm yang disapu pada luka akan bertindak sebagai penghalang jangkitan kuman atau bakteria sebelum merawat luka terbabit.

“Lendiran ini diambil tanpa mencederakan ikan haruan dan lendiran yang baru pada ikan itu akan berganti secara semula jadi tidak lama kemudian.

“Produk ini selamat digunakan kepada individu pelbagai usia termasuk bayi kerana ia tidak mempunyai pewarna atau bahan tiruan yang boleh memudaratkan serta diyakini halal,” katanya, semalam.

Beliau berkata, Mu-Derm boleh dipasarkan pada harga RM15 seunit dan setakat ini, terdapat syarikat yang berminat bagi memasarkan produk berkenaan.

Disiarkan pada: February 4, 2016 @ 7:04am
d