mutakhir

Hilang nyawa tertinggal budak

Oleh Siraj Mohd Zaini

Klang: Seorang pemandu van berusia 24 tahun yang bakal melangsungkan perkahwinan maut selepas dipercayai dibelasah bapa saudara kanak-kanak di tepi Jalan Kampung Sungai Udang, di sini.

Dalam kejadian jam 7 malam tadi, mangsa dikatakan dipukul selepas tertinggal mengambil anak saudara suspek pulang dari sekolah.

Suspek yang berang mengekori mangsa dengan motosikal sebelum menahan van dipandu mangsa.

Mangsa kemudian berhenti di bahu jalan sebelum suspek membelasahnya.

Seorang penduduk tempatan yang enggan dikenali berkata, mangsa bakal melangsungkan perkahwinannya pada 28 Februari ini.

Menurutnya, mangsa bersama abangnya membawa van sekolah di kawasan itu sejak beberapa bulan lalu.

“Saya mengenali mangsa kerana dia selalu pergi ke masjid. Dia juga seorang yang pendiam dan tidak mempunyai sebarang masalah dengan penduduk di kawasan ini.

“Mangsa dikatakan bakal bernikah dan majlisnya diadakan sama dengan abangnya pada 28 Februari ini,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Azman Abdul Razak yang dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memberitahu suspek berusia 29 tahun ditahan polis.

Disiarkan pada: February 4, 2016 @ 7:27am
d