mutakhir

Operasi pembersihan laluan siap lebih awal

Kuantan: Operasi pembersihan sisa bauksit di sepanjang laluan dari persimpangan Bukit Goh sehingga ke Pelabuhan Kuantan, dekat sini, dijangka selesai hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata, ia siap lebih awal berbanding tempoh sebulan yang ditetapkan bagi operasi itu.

Katanya, ia dapat dicapai memandangkan 100 anggota daripada pelbagai agensi bertungkus-lumus membersihkan laluan berkenaan sejak 14 Januari lalu.

“Kita juga memanjangkan kawasan pembersihan daripada 45 kilometer (km) kepada 70 km termasuk Jalan Sungai Ular.

“Bagaimanapun, kami membuat pemantauan di kawasan terbabit jika ada permintaan daripada orang awam supaya membersihkan laluan terjejas akibat aktiviti perlombongan bauksit,” katanya ditemui ketika meninjau operasi pembersihan sisa bauksit di Jalan Gebeng, di sini, semalam.

Abdul Wahab berkata, operasi itu berjalan seperti biasa walaupun dalam keadaan cuaca tidak menentu dengan hujan sejak beberapa hari lalu.

“Bomba menempatkan 20 hingga 25 anggota setiap hari untuk memastikan operasi pembersihan berjalan lancar,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengarahkan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menjalankan kerja pembersihan di kawasan yang terjejas akibat perlombongan bauksit.

Susulan itu, pelbagai agensi termasuk JBPM, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Alam Flora, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Penjara melaksanakan operasi pembersihan sisa bauksit mulai 14 Januari lalu.

Ia membabitkan kerja pembersihan pada papan tanda, papan tunjuk arah, tiang lampu dan pencucian permukaan jalan dengan meliputi Jalan Kuantan-Pelabuhan.

Disiarkan pada: February 5, 2016 @ 6:58am
d