mutakhir

50 hadiri sesi uji bakat DFKL di Lendu

Lendu: Seramai 50 individu menghadiri sesi uji bakat lakonan sempena jelajah Festival Drama Kuala Lumpur (DFKL) berlangsung di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Lendu di sini, kelmarin.

Sesi uji bakat yang diadili penerbit serta pelakon popular, Sheila Rusly dan pegawai stesen televisyen TV3 serta TV9 turut memberi peluang kepada peserta menimba ilmu selain mendapat tip berguna dalam bidang lakonan juga penerbitan.

Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama dan Rancangan TV3 dan TV9 Siti Nurlissia Mohd Nadzri berkata, bakat baru yang dicungkil ini akan menghiasi slot drama di TV3 serta TV9.

“Selain daripada pelakon, kami turut mencari bakat baru dalam bidang penulisan skrip dan pengarahan agar idea yang lebih segar juga berpotensi dapat diketengahkan.

“Peserta berpeluang mempelajari asas mengenai industri ini melalui bengkel dan kelas yang akan berlangsung pada 17 Mac dan 18 Mac ini Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur,” katanya.

Siti Nurlissia berkata, peserta juga perlu mempersiapkan diri terutama daripada segi mental selain memiliki pakej lengkap sebagai persediaan awal sebelum menjalani uji bakat.

Sementara itu, Sheila berkata, lebih ramai bakat baru diperlukan bagi memeriahkan lagi industri perfileman tempatan.

“DFKL perlu diteruskan bukan saja di seluruh negara, malah Brunei kerana masih ramai bakat baru yang belum diketengahkan,” katanya.

Sheila berkata, peserta uji bakat perlu memilih bidang yang lebih menonjolkan bakat sebenar mereka seperti pengarahan dan penulisan skrip selain lakonan walaupun begitu meminati bidang itu.

Johan Arrif As’ari atau lebih dikenali Johan As’ari yang turut tercalon dalam kategori aktor pilihan melalui drama Waris Kasih dan Idris Khan turut memeriahkan sesi jelajah berkenaan.

Bengkel drama DFKL 2016 akan menampilkan nama besar dalam industri seni seperti Datuk Rosyam Nor, Datin Umie Aida, Ellie Suriaty, Azman Haji Yahaya (Jinggo) dan Ahmad Idham.

DFKL anjuran TV3 dan TV9 yang masuk tahun ketiga mengetengahkan tema ‘Dunia Drama Sebenar’ masih menjurus kepada empat komponen utama iaitu pertandingan drama pendek, pembentangan idea, uji bakat dan bengkel.

UiTM Lendu menjadi persinggahan ketiga daripada enam lokasi siri Jelajah DFKL dan akan berakhir di Kuala Lumpur, 20 Februari ini.

Disiarkan pada: February 5, 2016 @ 7:08am
d