mutakhir

Jawatankuasa khas pantau premis bersih

Putrajaya: Kementerian Wilayah Persekutuan sudah menubuhkan satu jawatankuasa khas yang akan memantau kebersihan di semua premis makanan di Kuala Lumpur sebagai langkah berjaga-jaga dalam membanteras pembiakan nyamuk Aedes di negeri berkenaan.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr Loga Bala Mohan berkata, tindakan itu diambil susulan penularan virus Zika di beberapa negara di Amerika Latin sejak kebelakangan ini.

“Arahan bagi menjaga kebersihan premis makanan dikeluarkan dan penanda aras mengikut warna akan diguna pakai bagi menentukan tahap kebersihan di premis berkenaan.

“Empat warna yang menjadi penanda aras iaitu hijau (bersih), kuning (sederhana bersih), biru (kurang bersih) dan merah (kotor),” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kempen Jom Bayar Saman sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2016, di sini, semalam.

Beliau berkata, pihaknya mengambil pendekatan mendekati, mendidik dan penguatkuasaan terhadap semua premis di sekitar Kuala Lumpur dan tindakan denda akan diambil sekiranya premis berkenaan tidak mahu bekerjasama untuk menjaga kebersihan.

Pada masa sama, katanya, antara langkah lain yang diambil ialah dengan mengadakan kempen kebersihan dan kesedaran di seluruh Wilayah Persekutuan bagi membasmi virus Zika yang disebarkan kepada manusia melalui gigitan nyamuk Aedes.

Sebelum ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sudah mengisytiharkan virus Zika sebagai darurat kesihatan global yang boleh merebak dengan pantas dan disebarkan kepada manusia melalui gigitan nyamuk aedes iaitu vektor sama bagi demam denggi dan sehingga kini tiada vaksin dapat mencegah penyakit itu.

Disiarkan pada: February 5, 2016 @ 7:22am
d