mutakhir

1.5 juta penumpang sehari

Oleh Asmah Rusman

Kuala Lumpur: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menjangkakan bilangan penumpang mencecah 1.5 juta sehari menjelang 2017 susulan pembukaan fasa kedua projek sambungan jajaran laluan Transit Aliran Ringan (LRT) Kelana Jaya dan Ampang pada Mac serta Jun tahun ini.

Semalam, Prasarana merekodkan satu lagi kejayaan apabila jumlah penumpang harian melepasi paras sejuta apabila kini mencecah 1,001,800 orang.

Pengumuman itu dibuat Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar di Stesen LRT Masjid Jamek selepas sesi ‘walkabout’ dan pengagihan buah limau kepada penumpang sempena sambutan perayaan Tahun Baru Cina.

Syed Hamid berkata, kenaikan tambang pengangkutan awam darat, baru-baru ini ternyata tidak menjejaskan pertambahan jumlah penumpang, sebaliknya memberi kesan positif dan konsisten.

“Itu hanya cakap-cakap di media sosial, hakikatnya masih ramai menggunakan pengangkutan awam kerana penumpang seperti warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan pelajar masih menikmati potongan diskaun tambang,” katanya.

Katanya, kerajaan melalui Prasarana turut menambah baik kemudahan sedia ada termasuk di stesen LRT, monorel dan perhentian bas bagi keselesaan orang ramai secara berperingkat.

“Kita tidak memandang stesen ini sebagai stesen semata-mata sebaliknya mahu menjadikan ia sebagai lokasi beriadah, bersantai dan transit untuk mendapatkan kemudahan lain,” katanya.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Datuk Azmi Abdul Aziz berkata, angka sejuta itu adalah gabungan purata bilangan penumpang harian membabitkan laluan LRT Kelana Jaya, laluan LRT Ampang, laluan monorel dan perkhidmatan bas RapidKL, RapidPenang dan RapidKuantan.

Beliau berkata, perkhidmatan rel menyumbang bilangan penumpang 460,072 dengan laluan LRT Kelana Jaya mencatatkan bilangan tertinggi iaitu 265,000 orang sehari.

“Sasaran 1.5 juta penumpang sehari itu dibuat susulan penambahan rel dan beberapa laluan baru selain pembukaan laluan Mass Rapid Transit (MRT) Sungai Buloh-Kajang, Disember depan.

“KL Monorel kini dalam proses menggantikan semua tren dua gerabak kepada empat gerabak yang lebih besar dan dijangka mampu digunakan lebih ramai penumpang tahun ini,” katanya.

Disiarkan pada: February 5, 2016 @ 7:28am
d