mutakhir

Dugaan dari Tuhan

Oleh Amran Yahya

Kuala Pilah: Niat murni seorang lelaki warga emas mengalihkan tandan kelapa yang menghalang laluan di Kampung Sawah Lebar Seberang, di sini, membawa padah apabila dia parah dihempap pokok itu, kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.15 pagi itu, mangsa, Baharudin Said, 69, bersama isterinya, Rohana Hassan, 60, menaiki kereta dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membeli sarapan di Pekan Batu Kikir, dekat sini, sebelum melihat tandan kelapa menghalang laluan mereka.

Menceritakan kejadian, anak mangsa, Dhazia Baharudin, 39, berkata, bapanya keluar dari kereta untuk mengalihkan tandan berkenaan sementara ibu masih berada di dalam kereta.

“Sebaik mengalihkan tandan itu dan menuju ke keretanya, secara tiba-tiba pokok kelapa berkenaan tumbang menghempap bahu ayah menyebabkan ayah terbaring atas jalan.

“Ibu yang terkejut melihat kejadian itu bertindak membunyikan hon meminta bantuan orang kampung,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, kelmarin.

Dhazia berkata, dia yang berada di rumah ibu bapanya itu kerana sedang bercuti diberitahu anak jiran yang datang ke rumah.

“Saya bergegas ke lokasi dan mendapati ayah berlumuran darah. Saya segera membawanya ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), di sini, untuk mendapatkan rawatan.

“Ayah mengalami kecederaan patah tulang bahu kanan dan tulang rusuk kanan selain terpaksa menerima sembilan jahitan di telinga kiri,” katanya bersyukur kerana pokok kelapa itu tersangkut pada wayar elektrik sebelum menghempap bapanya.

Katanya, jika tidak kemungkinan kecederaan bapanya lebih teruk, malah ibunya juga masih trauma dengan kejadian itu.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh, Datuk Mohammad Razi Kali turut meluangkan masa menziarahi mangsa di HTAN, kelmarin.

Disiarkan pada: February 6, 2016 @ 5:24am
d