mutakhir

Bumbung kereta 'terkoyak'

Oleh Nadzreen Shah Mat Salim

Kuala Lumpur: Dua penuntut warga asing maut manakala seorang rakan mereka parah sejurus kereta dipandu ‘terkoyak’ bumbung sejurus merempuh tiang papan tanda.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, pemandu kereta warga Nigeria, Ahmadu Bello Danbatta, 20-an, dan pemuda Mesir, Islam Deeb, 20 -an terbunuh di tempat kejadian berhampiran Jalan Mahameru di sini.

Bagaimanapun seorang lagi mangsa, Ahlam Shuib cedera di bahagian dahi akibat rempuhan itu.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur Deputi Superintendan S Markandan berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila kereta Perodua Myvi dinaiki tiga mangsa dari dari arah jalan Duta menghala ke Pusat Bandar dikatakan terbabas dan hilang kawalan sebelum merempuh tiang papan tanda.

“Akibat daripada kemalangan itu, pemandu dan penumpang di sebelah pemandu kereta meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan manakala seorang lagi parah.

“Mangsa yang terbunuh masing-masing berasal dari Nigeria dan Mesir,” katanya.

S Markandan berkata, kedua-dua mangsa yang maut itu dikenal pasti sebagai pelajar warga asing di negara ini.

“Polis meminta kerjasama orang ramai yang melihat kejadian itu supaya tampil di balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

“Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut seksyen 41 Akta Pengangkutan (APJ) 1987.

Disiarkan pada: February 6, 2016 @ 5:34am
d