mutakhir

Pelajar abad ke-21

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

Putrajaya: Transformasi kurikulum pendidikan Malaysia iaitu Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) yang akan dilaksanakan bermula tahun depan adalah sebagai persediaan bagi melahirkan pelajar berfikiran kritis, kreatif dan inovatif.

Menerusi suntikan baharu yang sejajar dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 itu, pelajar akan diterapkan dengan kemahiran berfikiran aras tinggi dan ia akan difokuskan dalam semua mata pelajaran yang dipelajari.

Bukan itu saja, pembabitan pelajar dalam aktiviti sukan dan kurikulum turut diberi penekanan, sekali gus menzahirkan hasrat Kementerian Pendidikan melahirkan pelajar yang berdaya saing.

Ketua Sektor Dasar dan Penyelidikan Bahagian Pembangunan Kurikulum Kementerian Pendidikan Dr A’Azmi Shahri berkata, kemahiran berfikir ini akan diintegrasikan dalam semua mata pelajaran dan ia satu cabaran kepada guru untuk melaksanakan proses pembelajaran berdaya fikir.

“Dengan transformasi ini, adalah menjadi harapan dan hasrat Kementerian Pendidikan melahirkan pelajar dari sistem pendidikan negara ini yang mempunyai daya fikir kritis, kreatif dan inovatif.

“Bukan itu saja, pelajar yang dilahirkan menerusi sistem pendidikan negara ini diharap mampu memberi sumbangan kepada pembangunan negara serta peringkat global selain mengatasi cabaran pada masa akan datang,” katanya pada sesi temubual khas di sini.

Selain kemahiran berfikir aras tinggi, beliau berkata, perubahan lain yang boleh dilihat menerusi transformasi KSSR dan KSSM ialah penggunaan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP).

“Ini satu perubahan yang sedang berlaku dan sebelum ini sekolah menengah menggunakan Sukatan Pelajaran dan Huraian Sukatan Pelajaran bagi setiap mata pelajaran,” katanya.

Beliau berkata, elemen pentaksiran pula dimasukkan di dalam DSKP untuk semua mata pelajaran di peringkat rendah dan menengah.

A’Azmi berkata, perubahan lain yang dibuat ialah peruntukan masa bagi sesi pengajaran dan pembelajaran iaitu daripada minit kepada bentuk lain sebagai contoh menggunakan jam.

“Seperti diketahui, buat masa ini bagi sekolah menengah menggunakan kaedah satu waktu bersamaan 40 minit untuk sesi pembelajaran manakala sekolah rendah ialah satu masa bersamaan 30 minit.

“Justeru, peruntukan masa ini akan berubah supaya sesi pengajaran dan pembelajaran guru di kelas akan lebih berkesan dan menarik,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, KSSR baru dilaksanakan pada 2011 di peringkat sekolah rendah namun, ia disemak semula berdasarkan keperluan mengikut PPPM 2013-2025.

Katanya, bagi KBSM untuk peringkat sekolah menengah, ia disemak semula pada 2003 dan beberapa perubahan dilakukan terhadap mata pelajaran namun, kurikulum berkenaan akan diganti dengan kurikulum baru bersesuaian dengan murid yang mengikuti KSSR sekarang.

“Sehubungan itu, murid tahun enam sekarang akan menjadi kumpulan pertama menggunakan kurikulum baru peringkat menengah di tingkatan satu pada tahun depan.

“Tujuan utama penambahbaikan dibuat terhadap kurikulum ini adalah supaya pelajar terbabit memperolehi pengetahuan, kemahiran dan nilai yang relevan dengan keperluan serta cabaran di abad ke-21 ini,” katanya.

A’Azmi berkata, Kementerian Pendidikan melakukan proses perubahan bersifat holistik terhadap kurikulum yang diguna pakai di sekolah.

“Ia bermaksud kurikulum itu disemak semula serta melalui perubahan dari segi bentuk kurikulum itu sendiri, kerangkanya seterusnya organisasi kurikulum berkenaan,” katanya.

Tambahnya lagi, adalah penting bagi guru mengetahui pedagogi iaitu kaedah pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah apabila kurikulum baharu ini dilaksanakan.

“Secara umumnya, perubahan terhadap kurikulum itu yang dibuat secara holistik adalah membabitkan reka bentuk kurikulum, organisasi, kandungan, pedagogi, masa, kaedah pentaksiran dan cara sekolah menguruskan kurikulum,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata, Kementerian Pendidikan tidak melakukan perubahan atau transformasi terhadap kurikulum sekolah dalam keadaan ‘sambil lewa’.

“Kita tidak ubah sesuka hati, tetapi perubahan dan transformasi terhadap kurikulum sekolah mengikut keperluan dan sesuai dengan mereka.

“Ia juga akan disemak selepas beberapa tahun dilaksanakan, dikaji lagi sama ada sesuai untuk diteruskan atau ditambah baik atau diubah.

“Secara lazimnya, proses ini memerlukan masa iaitu antara lima hingga 10 tahun,” katanya.

Mengulas lanjut, A’Azmi berkata, kurikulum yang digunakan pada masa ini perlu diubahsuai bagi memastikan pelajar mencapai enam aspirasi yang digariskan Kementerian Pendidikan.

“Ia perlu diubah bagi memastikan kurikulum itu memberi penekanan kepada pelajar supaya dapat memperolehi kemahiran abad ke-21 seperti mempunyai kemahiran komunikasi, kepimpinan dan menguasai bahasa.

“Faktor lain ialah mengambil kira elemen perpaduan dan keharmonian kaum kerana itu asas dan landasan kepada sistem pendidikan kebangsaan dan ia juga masih utuh sehingga hari ini,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya melakukan pelbagai perbincangan dengan mereka yang berkenaan sejak tahun 2014 berhubung semakan semula KSSR dan KBSM.

“Misalnya, pertemuan dan perbincangan dibuat bersama kesatuan guru, majlis guru besar dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi mendapatkan pandangan mereka.

“Pertemuan dan perbincangan ini diteruskan pada tahun ini dan kita akan mengadakannya bagi memberi penerangan mengenai perkara ini,” katanya.

Disiarkan pada: February 6, 2016 @ 5:44am
d