mutakhir

Konsep anak jati Perak

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin

Nibong Tebal: Pelakon Syatilla Melvin atau nama sebenar, Siti Nur Syatilla Amerul Melvin memilih konsep tradisional Puteri Perak untuk majlis berinai yang akan diadakan di kediaman keluarganya di Bukit Jawi Golf Villa, Jawi di sini, malam ini.

Majlis dijadualkan pada jam 8 malam itu terlebih dulu akan diserikan dengan majlis pertunangan pasangan berkenaan yang akan dihadiri ahli keluarga kedua-dua pihak diikuti dengan majlis malam berinai berkonsepkan tradisional Puteri Perak.

Hiasan pelamin untuk majlis berkenaan diserikan dengan gabungan warna merah emas hasil sentuhan dan rekaan Azasna Design dari Shah Alam, Selangor yang menggabungkan konsep Melayu tradisional kontemporari moden.

Syatilla berkata, konsep majlis berinai sebenarnya sangat istimewa buat dirinya yang ingin melahirkan rasa bangga menjadi anak jati Perak biarpun tinggal bersama keluarga di Pulau Pinang.

Beliau berkata, konsep sedemikian diingini kerana jarang diadakan, lebih-lebih lagi dia mencari idea yang lain daripada lain.

“Mungkin ramai yang tidak tahu kebudayaan sebenar orang Perak dan inilah masanya untuk menonjolkan gambaran sebenar Diraja Perak kepada sanak saudara dan teman serta generasi muda.

“Ia sangat istimewa dan unik kerana dua majlis diadakan serentak sebelum majlis akad nikah pada esok (Isnin) di Bukit Jawi Golf Villa dan resepsi pihak pengantin perempuan di Bukit Jawi Golf Resort pada Selasa,” katanya.

Sementara itu, pemilik Azasna Design Nurul Asrin Mohamed berkata, cetusan idea majlis berinai itu diilhamkan sendiri Syatilla yang ingin mengembalikan suasana kehidupan sebenar Puteri Diraja Perak.

Beliau berkata, gabungan konsep diterapkan itu untuk mengenengahkan kebudayaan dan kesenian Perak kerana Syatilla ingin melahirkan rasa bangga menjadi anak jati Perak yang dilahirkan di Parit Buntar.

Disiarkan pada: February 7, 2016 @ 5:08am
d