mutakhir

Susahnya kami nak parkir!

Oleh Siti Farahiyah Aziz

Kuala Lumpur: Beratus bangkai kenderaan pelbagai jenis yang hanya tinggal rangka selain tayar pancit serta cat lusuh dan menggelupas boleh ditemui di banyak kawasan perumahan dan industri yang tidak diketahui statusnya.

Banyak kenderaan terbiar di beberapa kawasan penempatan sekitar ibu negara terutama di petak parkir bukan setakat menyusahkan penghuni, tetapi turut mengundang pelbagai masalah lain seperti menjadi sarang haiwan berbisa serta tempat pembiakan nyamuk.

Bukan itu saja, ada sesetengah bangkai kenderaan sudah dilitupi dedaun serta ditumbuhi lalang dan pokok liar di sekelilingnya.

Tinjauan Metro Ahad di sekitar kawasan perumahan di ibu negara mendapati sikap ambil mudah pemilik membiarkan kenderaan lama mereka nyata merimaskan dan menyusahkan orang ramai yang memerlukan parkir.

Pekerja swasta Norhayati Borhan, 37, berkata, dia sudah mendiami kawasan itu sejak lima tahun dan setiap tahun ada saja kereta yang ditinggalkan.

“Di mana-mana kawasan perumahan mengalami masalah parkir dan sikap tidak bertanggungjawab pemilik membiarkan kenderaan lama mereka menyebabkan berlakunya pembaziran.

“Ini menyebabkan kesukaran mendapatkan parkir, manakala bagi yang pulang lewat dari tempat kerja terpaksa meletak kenderaan mereka jauh dari rumah,” katanya ketika ditemui di Jalan Klang Lama, di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, dia juga bimbang sekiranya ia menjadi tempat pembiakan nyamuk dan binatang berbisa.

“Sekarang ini pelbagai virus bawaan nyamuk dikenal pasti dan ini pasti menggusarkan orang ramai.

“Walaupun ada kontraktor pembersihan membersihkan kawan ini setiap hari, namun mereka tidak boleh berbuat apa-apa ke atas kenderaan yang ditinggalkan itu,” katanya.

Berkongsi pandangan sama, suri rumah Zakiah Awang, 50, berkata, masalah ini berlaku mungkin berpunca daripada masalah kewangan pemilik untuk membaiki kenderaan mereka.

“Berikutan kos membaiki kenderaan yang semakin mahal menyebabkan mereka membeli kenderaan baru dan tidak mempedulikan yang lama.

“Oleh itu, mereka perlu bertolak ansur dan lebih prihatin dengan keperluan parkir dan tidak menjadikan kawasan parkir sebagai tempat meletakkan bangkai kereta mereka,” katanya.

Zakiah berkata, pertambahan kenderaan terbiar ini disebabkan oleh orang ramai tidak tahu cara melupuskannya.

“Ada kemungkinan juga pemilik tidak tahu cara untuk melupuskan kenderaan lama kerana tiada pendedahan mengenainya.

“Kebanyakan jurujual tidak menerangkan cara pelupusan kenderaan dan ini menyebabkan kereta yang tidak diperlukan itu tersadai di tempat yang tidak sepatutnya,” katanya.

Menurutnya, dia berharap pihak berkuasa boleh melakukan sesuatu kerana ia turut menjejaskan pemandangan kawasan sekitar dan tidak berlaku pembaziran parkir.

Disiarkan pada: February 7, 2016 @ 5:10am
d