mutakhir

Bashah optimis BN menang dua pertiga PRU14

Alor Setar: Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yakin misi merampas sekurang-kurangnya dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) mampu dicapai jika menerima sokongan padu daripada pemimpin dan ahli akar umbi Barisan Nasional (BN).

Ahmad Bashah berkata, keyakinan itu berdasarkan sifat setia serta sokongan ditunjukkan penyokong selama lima penggal beliau menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Bata sekali gus diharapkan akan kekal sejak menggalas jawatan pemimpin nombor satu Kedah.

Katanya, walaupun menjadi cabaran besar untuk meraih kembali sokongan rakyat, namun beliau akan berusaha menambah bilangan kerusi BN demi menunaikan harapan rakyat serta generasi muda di negeri itu.

“Saya berharap semua (rakyat dan penyokong) mendoakan walaupun kini sudah bertukar jawatan sebagai Menteri Besar kerana saya masih orang yang sama (ADUN Bakar Bata) dan akan berusaha untuk menambah kerusi pada PRU14 nanti.

“Jika hari ini kita (BN) mendapat 21 kerusi (DUN), kalau boleh kita mahu menambah dua per tiga lagi, tapi usaha ini perlu mengajak semua orang supaya memberi sokongan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Mesra Jiran Perdana dan Menyemai Kasih Sayang di Taman Tunku Tabur, Jalan Gangsa, di sini, semalam.

Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri itu juga berkata, beliau akan berusaha mengurangkan jurang hubungan antara seorang pemimpin dengan rakyat, malah mahu mereka menepis perasaan malu jika mahu mendampinginya.

“Saya tidak mahu selepas duduk lima penggal (DUN Bakar Bata) pengundi malu kalau mahu berjumpa atau bersalam. Saya tidak mahu mereka mempunyai perasaan sebegitu kerana saya masih orang sama dan mahu meneruskan tradisi lama,” katanya.

Disiarkan pada: February 7, 2016 @ 5:11am
d