mutakhir

Air sungai melimpah

Oleh Nur Saliawati Salberi

Alor Gajah: Hampir 400 penduduk di sekitar Alor Gajah dan Jasin ditempatkan di 11 pusat pemindahan banjir setakat jam 4 petang semalam, selepas kediaman mereka ditenggelami air akibat banjir, awal pagi berkenaan.

Berdasarkan maklumat daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Alor Gajah, lapan pusat pemindahan banjir dibuka di daerah berkenaan bagi menempatkan 99 keluarga yang terjejas.

Jurucakap JKM berkata, setakat jam 4 petang semalam, penduduk di Seri Pengkalan paling teruk terjejas membabitkan 69 keluarga.

“Kami membuka lapan pusat pemindahan banjir di daerah Alor Gajah iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pengkalan yang menempatkan 285 mangsa.

“Kami juga membuka pusat pemindahan banjir di Surau Bukit Tambun, Balai Raya Bukit Balai, Sekolah Kebangsaan (SK) Belimbing Dalam, Balai Raya Gadek, Surau Sri Cahaya di Tebong dan bilik bacaan di Taman Seri Bayu. Kami menempatkan 385 mangsa banjir di semua pusat pemindahan berkenaan,” katanya.

Manakala di Jasin, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) melaporkan dua kawasan terjejas akibat bencana itu iaitu Simpang Bekoh dan Sungai Dua di Asahan.

Tiga pusat pemindahan banjir di buka masing-masing sebuah di Balai Raya Asahan, Balai Raya Pekan dan Balai Raya Taman Kasturi, Simpang Bekoh. Seramai 29 mangsa terjejas akibat banjir di lokasi berkenaan.

Penduduk Sungai Dua, Azliza Anuar, 44, berkata, sepanjang dua bulan pertama tahun ini, sudah dua kali keluarganya terjejas akibat banjir.

Katanya, setiap kali hujan lebat, mereka sekeluarga akan berjaga-jaga.

“Saya dan suami tidak tidur sejak semalam (kelmarin) kerana mengemas perkakas rumah dan seperti yang dijangka, air naik mendadak jam 3 pagi.

“Bagi mengelakkan perkara buruk berlaku jika terus berada di rumah, kami sekeluarga ke Balai Polis Asahan untuk menumpang tidur sebelum ke balai raya berhampiran, jam 8.30 pagi tadi (semalam),” katanya.

Bagi penduduk Kampung Dalong, Alor Gajah, Norhayati Md Isa, 50, berkata, dia bersama lapan ahli keluarga cemas apabila menyedari rumah dimasuki air, jam 6 pagi semalam.

“Kami sedang tidur sebelum dikejutkan dengan jeritan jiran yang memaklumkan air sungai di belakang rumah melimpah.

“Kami hanya sempat menyelamatkan barangan penting. Perkakas rumah seperti sofa bagaimanapun gagal diselamatkan,” katanya.

Sementara itu, penduduk Kampung Gadek Dalam, Muhammad Hafeez Maarif, 26, berkata, dia bersama isteri serta anak lelaki berusia setahun terperangkap di dalam rumah selama kira-kira enam jam sebelum diselamatkan.

“Banjir melanda jam 6.30 pagi dan kami gagal meninggalkan rumah kerana paras air tinggi. Kami hanya berlindung di dalam kediaman sebelum diselamatkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) menggunakan bot penyelamat,” katanya.

Disiarkan pada: February 7, 2016 @ 5:13am
d