mutakhir

Minat bimbing si kecil

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Tidak mahu terlepas saat indah membesarkan dua anaknya mendorong seorang pereka agensi penyiaran terkemuka melepaskan kerjayanya dan membuka pusat perkembangan kanak-kanak di Lorong Maarof, Bangsar, di sini, sejak awal tahun ini.

Pemilik Genius-Aulad cawangan Bangsar, Izyan Liyana Khairul Anuar, 33, berkata, keputusan itu turut didorong minatnya yang gemar terhadap pendidikan awal kanak-kanak.

“Saya dari dulu teringin melihat anak membesar depan mata dan mendidik mereka sendiri tetapi pada masa sama perlu bekerja kerana tidak boleh mengharapkan suami bekerja seorang diri untuk menampung kehidupan kami sekeluarga.

“Jadi, saya dan suami membuat keputusan melaburkan sejumlah wang simpanan dan membuat sedikit pinjaman dengan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) bagi membuka francais Genius-Aulad di Bangsar,” katanya.

Menurut Izyan Liyana, mereka membuka pusat berkenaan di Bangsar bagi memberi kemudahan kepada ibu bapa yang bekerja di sekitar ibu kota menghantar anak berusia empat hingga enam tahun berdekatan dengan tempat kerja masing-masing.

“Saya dan suami sendiri pernah ada pengalaman bekerja di Kuala Lumpur, setiap hari kami menghabiskan masa lebih sejam berada dalam kesesakan jalan raya sebelum mengambil anak di rumah pengasuh di Subang Jaya.

“Biasanya apabila sampai di rumah pengasuh sekitar jam 8 malam, anak sudah- pun terlena dan kami terlepas peluang melayan kerenah dan keletah anak.

“Justeru, saya berharap dengan adanya inisiatif ini saya dapat meleraikan kerunsingan ibu bapa yang bekerja, di mana mereka boleh datang menjenguk mahupun meluangkan masa bersama anak di sini pada bila-bila masa,” katanya.

Menurutnya, Genius-Aulad bukan pusat asuhan tetapi sebuah pusat perkembangan kanak-kanak berusia antara empat hingga enam tahun bermula jam 8.30 pagi hingga 5 petang.

“Pusat berkonsepkan Islamik dan pembelajaran berasaskan bahasa Inggeris ini sangat mementingkan kualiti perkembangan kanak-kanak dengan cara belajar sambil bermain.

“Di sini, kanak-kanak bukan saja diajar perkara asas seperti membaca, mengeja dan mengira tetapi kami juga menerapkan konsep seperti hafazan, berzikir, selawat serta belajar mendirikan solat.

“Paling penting mereka juga diajar mengenai nilai murni seorang Muslim dalam kehidupan seharian, contohnya cara berbuat baik dan menghormati orang sekeliling,” katanya,” katanya.

Disiarkan pada: February 8, 2016 @ 6:35am
d