mutakhir

Jaminan keperluan cukup

Oleh Nur Saliawati Salberi

Jasin: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memberi jaminan keperluan dan kebajikan mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan banjir akan diberi keutamaan baik dari segi keselamatan serta keperluan harian.

Pegawai JKM daerah Zakiah Hasan berkata, pihaknya bersiap-sedia sepanjang tahun dengan menyediakan barangan keperluan bagi berdepan bencana banjir.

Katanya, di setiap daerah, JKM mempunyai stor bencana yang menyediakan bekalan seperti makanan, pakaian dan tempat tidur bagi mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan.

“Apabila banjir melanda, kami tiada masalah untuk terus menggerakkan semua kelengkapan dan keperluan mangsa kerana semuanya sudah disediakan.

“Buat masa ini, semua keperluan dan bekalan mencukupi manakala bagi bekalan makanan, kami hanya menempahnya, tetapi jika keadaan bertambah buruk dan bilangan mangsa meningkat, JKM akan bergotong-royong dengan anggota tentera serta Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) untuk memasaknya,” katanya.

Menurut Zakiah, bagi memastikan tiada masalah dalam membekalkan keperluan dan kelengkapan untuk mangsa banjir, JKM bekerjasama dengan Jabatan Meteorologi bagi mengetahui keadaan cuaca semasa.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Sungai, Pantai dan Pulau-Pulau negeri Datuk Ghazale Muhamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim berkata, banjir yang melanda kawasan seperti di Chohong, Asahan dan Simpang Bekoh bukan disebabkan sistem perparitan yang tidak betul.

“Sistem perparitan di kawasan berkenaan tidak bermasalah kerana apabila hujan berhenti, hanya dalam masa tiga hingga empat jam air sudah surut.

“Apa yang berlaku adalah kuantiti hujan yang tinggi dalam jangka masa tertentu menyebabkan air sungai melimpah,” katanya ketika ditemui selepas melawat dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Bekoh.

Sementara itu, mangsa banjir, Ayub Kadir, 76, berkata, sepanjang berada di pusat pemindahan berkenaan, kebajikannya bersama keluarga terjaga.

“Syukur kerana semua keperluan kami mencukupi, malah petugas turut melayan kami dengan sangat baik,” katanya.

Disiarkan pada: February 8, 2016 @ 6:40am
d