mutakhir

Tabika interaktif

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Bukan mudah untuk menarik minat kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun datang ke sekolah memandangkan pada peringkat usia sebegitu golongan ini masih dalam ‘mood’ bermain dan tidak boleh berenggang dengan keluarga.

Bagi Norazira Sulaiman yang mengajar di Tabika Kem Wadieburn Jalan Genting Lama di sini, seorang guru atau pemaju masyarakat perlu tampil kreatif dalam menghasilkan bahan pengajaran dan pembelajaran (PdP) menarik untuk menarik minat serta perhatian murid datang ke sekolah.

Menurutnya, mereka bertuah kerana terpilih sebagai satu daripada tabika KEMAS di negara ini yang menerima alat pembelajaran IWB pada 2010 menggunakan perisian komputer.

“Menerusi alat interaktif ini, guru boleh mereka bentuk bahan pembelajaran sendiri secara kreatif dengan memasukkan elemen bunyi, muzik, gambar, grafik, video serta rakaman dalam setiap matapelajaran. Uniknya papan pintar ini boleh disentuh secara langsung.

“Dengan adanya alat ini, perkembangan kanak-kanak lebih cepat dan mereka tidak mudah bosan berbanding buku.

“Perbezaan paling ketara dalam murid yang belajar dengan papan pintar ini lebih cepat menerima pembelajaran iaitu dalam tempoh sebulan pandai mengira dan mengeja berbanding kaedah pembelajaran konvensional (buku) kira-kira dua bulan,” katanya yang pernah dinobatkan Johan Pemaju Masyarakat Inovasi peringkat Kebangsaan pada 2013.

Katanya, penggunaan papan pintar itu diakui terbukti apabila dianggarkan 90 peratus diyakini mampu menarik minat murid belajar dan menggalakkan mereka berfikir aras tinggi daripada kebiasaan.

Berlainan dengan Tabika KEMAS Kampung Orang Asli Sungai Melut Dengkil dekat Sepang, Selangor, mereka menggunakan pendekatan Kebun Dapur bagi menarik minat murid Orang Asli ke sekolah.

Menurut Pembantu Pemaju Masyarakatnya, Suyah Anak Chemut, 48, terdapat lebih 30 spesies tanaman herba dan sayuran ditanam di sekeliling tabika mereka sejak dua tahun lalu bagi memberi pendedahan awal kepada murid mengenai kepentingan tumbukan berkenaan.

“Kebanyakan benih diperoleh sendiri dan ada juga ibu bapa yang menyumbang. Setiap murid dibahagikan dalam beberapa kumpulan untuk mengambil bahagian dalam aktiviti ini yang akan dilakukan dua kali seminggu,” katanya.

Disiarkan pada: February 10, 2016 @ 8:21am
d