mutakhir

Batal ajelah

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

Kuala Lumpur: Debat antara Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam Kementerian Dalam Negeri (KDN) Zamihan Mat Zin dan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainal Abidin wajar dibatalkan serta-merta kerana tidak akan membawa kesan baik kepada masyarakat.

Pensyarah di Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Profesor Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abd Majid berkata, pihak berkaitan perlu memperhalusi semula penganjuran debat itu kerana dibimbangi akan mengundang polemik agama lebih besar dan berpanjangan.

Menurutnya, dalam tamadun Islam perdebatan seumpamanya tidak menjadi masalah kerana masyarakatnya mempunyai ilmu pengetahuan agama yang tinggi.

“Pertamanya, kepada semua orang sama ada penganjur atau mereka yang berminat sangat nak berdebat hasil perdebatan itu tiada yang baik.

“Dalam tamadun silam perdebatan adalah bersifat ‘mewah’ dalam tamadun yang tinggi, masyarakat berilmu, berpelajaran. Itulah perdebatan yang sentiasa berlaku antara ulama sebelum ini dan tidak bawa masalah kerana masyarakat faham dan tidak dipengaruhi emosi.

“Dalam konteks masyarakat kita, ramai tidak faham dan masih rendah dari segi bidang keilmuan Islamnya,” katanya dihubungi di sini bagi mengulas debat antara Mohd Asri dan Zamihan yang akan diadakan pada 17 Februari ini.

Mahmood Zuhdi berkata, keduanya beliau bimbang perdebatan itu hanya bertujuan menegakkan pandangan masing-masing.

“Saya rasa apa jua alasan debat itu tidak patut diadakan kerana ia bukan isu politik harian, tapi prinsip Islam. Kalau sesiapa lahirkan perbezaan pandangan Islam, cabang furu, ia akan diperdebat sampai bila-bila.

“Bila ditetapkan tajuk ekstremisme, dalam perdebatan itu akan lahir pelbagai data yang tidak sepatutnya didedahkan kepada umum dan menjadi data-data dalam fail orang tertentu saja.

“Masyarakat akan lihat kedua-duanya akan runtuh. Saya sayangkan kedua-dua mereka dan kenal mereka. Kalau mereka sanggup hancur kerana hal seperti itu, saya tidak nampak mereka memberi sumbangan yang selanjutnya kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, senario di Malaysia kini menyaksikan ulama mengalami krisis identiti dan tidak lagi dihormati oleh masyarakat, tidak wajar ditimpakan dengan isu baru.

“Memang ada masyarakat fanatik, tapi majoriti akan lihat dengan pandangan tidak berpuas hati dengan gelagat mereka.

“Saya minta mereka fikir semula dan bagilah masa kepada kedua-dua mereka. Jangan ada pihak yang campur tangan, nanti pihak terbabit ‘menang sorak saja’,” katanya.

Katanya, beliau akan melakukan inisiatif di bawah Majlis Dakwah Negara untuk mengadakan perjumpaan lebih bererti bukan saja antara Zamihan dan Mohd Asri, malah lebih ramai tokoh yang boleh memberi pandangan dengan cara lebih baik.

Disiarkan pada: February 10, 2016 @ 8:27am
d