mutakhir

Wanita hilang di Bukit Kledang ditemui selamat

Ipoh: Seorang wanita berusia 22 tahun yang dilaporkan hilang ketika mendaki Bukit Kledang, di sini, kelmarin, ditemui selamat oleh pasukan mencari dan menyelamat jam 4.14 pagi semalam.

Dalam kejadian itu, mangsa dikatakan menggunakan laluan denai berlainan dengan laluan bertar yang digunakan suaminya.

Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Ruhisha Haris berkata, wanita itu ditemui kira-kira 1.5 kilometer dari tempat terakhir dia dilihat.

Menurutnya, wanita itu ditemui di tepi anak sungai di bawah cerun dalam keadaan lemah dan kelaparan, tetapi tidak cedera.

“Difahamkan, wanita itu dibawa turun ke kaki bukit oleh anggota Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) sebelum dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, oleh Pasukan Menyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Berdasarkan siasatan, dia mengambil keputusan untuk bergerak ke arah anak sungai memandangkan hari semakin gelap selepas gagal menemui trek sebenar,” katanya.

Beliau berkata, daripada maklumat awal yang diterima pihak bomba, wanita terbabit bersama suaminya mendaki gunung berkenaan bermula jam 7 pagi kelmarin.

“Difahamkan, suaminya menggunakan laluan bertar, manakala dia menggunakan laluan denai untuk mendaki menuju puncak stesen pencawang pertama Bukit Kledang.

“Bagaimanapun, setiba di stesen pencawang berkenaan, suami wanita terbabit mendapati isterinya tidak kelihatan di puncak sehingga lewat petang sebelum dia membuat laporan polis berhubung kejadian jam 6.36 petang,” katanya.

Disiarkan pada: February 10, 2016 @ 8:46am
d