mutakhir

Bina lebih besar

Oleh Mary Victoria Dass

Pasir Gudang: Kerajaan negeri memberi jaminan akan menyediakan kemudahan jambatan baru bagi menggantikan jambatan Kampung Perigi Acheh, di sini, yang runtuh kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, jambatan baru yang bakal dibina itu membabitkan kos antara RM5 juta dan RM6 juta.

Beliau berkata, jambatan itu bukan bercirikan jambatan trafik sederhana (MTB) yang ada kini, sebaliknya sesuai mengikut keperluan dan aktiviti semasa penduduk yang semakin meningkat.

“Mungkin peruntukan yang akan diusahakan daripada Kerajaan Pusat mahu pun kerajaan negeri dan kerja membabitkan pembinaan kemudahan itu akan dijalankan dalam tempoh terdekat.

“Manakala, Jabatan Kerja Raya (JKR) meninjau tahap keselamatan jambatan lama yang runtuh sebahagiannya bagi membolehkan tindakan penyelesaian jangka pendek dilaksanakan untuk memulihkan laluan itu.

“Kami berharap penduduk bersabar dan memberi ruang kepada usaha yang dilakukan,” katanya yang meninjau keadaan sebahagian struktur jambatan perkampungan itu yang runtuh petang semalam.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tiram Datuk Maulizan Bujang.

Maulizan berkata, kerja pemasangan kepingan keluli besi akan dilaksanakan di sepanjang jambatan lama yang berukuran 70 meter panjang dan empat meter lebar.

Beliau berkata, ia dijangka memakan masa enam jam dan apabila siap, kenderaan penduduk boleh keluar masuk ke perkampungan itu tanpa sebarang masalah.

“Difahamkan, 40 kereta penduduk tidak dapat keluar berikutan sebahagian struktur runtuh semalam (kelmarin). Laluan pejalan kaki beserta motosikal juga akan dibina jika diperlukan.

“Kami berterima kasih kepada semua jabatan dan pihak berkuasa yang komited memastikan kerja dirancang berjalan lancar dalam usaha memulihkan semula perhubungan penduduk,” katanya.

Disiarkan pada: February 10, 2016 @ 8:54am
d