mutakhir

Takdir hilang dua kaki

Butterworth: “Dulu saya mampu pergi ke mana saja, namun kini tidak lagi.” Demikian kesedihan seorang penjual batu cincin dan ubat tradisional apabila kedua-dua kakinya dipotong daripada paras lutut ke bawah akibat menghidap kencing manis kronik sejak empat tahun lalu.

Othman Mohd Akil, 52 berkata, sebelum kedua-dua kakinya kudung, dia menyara kehidupan keluarganya dengan keluar berniaga batu cincin, minyak dan ubat tradisional daripada akar kayu di serata tempat.

“Hampir 20 tahun saya mencari rezeki sebegitu dengan keluar setiap hari menaiki bas menuju ke pasar pagi di merata-rata tempat seperti di Kulim, Kedah; Parit Buntar, Perak serta Georgetown dan lain-lain kawasan lagi bagi menyara kehidupan keluarga ketika itu.

“Sebelum berstatus orang kurang upaya (OKU), kaki kiri saya mengalami bengkak dan dijangkiti kuman hingga terpaksa dipotong hingga bawah lutut pada 2013, manakala kaki kanan pula terpaksa dipotong pada Mei tahun lalu apabila buku lali berlubang dan bernanah,” katanya yang tinggal di Flat Ampang Jajar di sini.

Beliau berkata, sejak itu, pergerakannya terbatas dan hanya mampu mengengsot di dalam rumah dan jika ada urusan di luar, dia terpaksa menggunakan kerusi roda sambil dibantu isterinya, Jahara Jamin, 54.

“Namun keadaan kesihatan isteri yang mengalami masalah jantung dan tulang belakangnya yang membengkok serta mengalami sakit saraf turut membataskanya untuk menguruskan saya.

“Doktor turut menasihati isteri saya supaya tidak memikul beban melebihi tiga kilogram (kg) jika melakukan sebarang kerja rumah,” katanya.

Othman berkata, selepas hilang mata pencariannya, dia perlu mengeluarkan perbelanjaan RM300 setiap bulan bagi membeli ubat saraf untuk isterinya di sebuah klinik swasta di Jelutong, selain memperuntukkan tambang teksi setiap kali dia melakukan rawatan susulan sebulan sekali di Hospital Seberang Jaya (HSJ) dan di sebuah klinik berhampiran kediamannya sebanyak dua bulan sekali.

Beliau berkata, bantuan OKU sebanyak RM200 sebulan yang diterima daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan bantuan persekolahan anak RM300 serta Zakat Pulau Pinang (ZPP) sebanyak RM350 sedikit sebanyak meringankan beban tanggungannya bagi menyara keluarga.

Disiarkan pada: February 11, 2016 @ 7:37am
d