mutakhir

Jangan bersifat prejudis

Oleh Mohd Nasif Badruddin

Kuala Lumpur: Tindakan pihak tertentu mengaitkan cadangan pengenaan hukuman lebih berat ke atas pembocor rahsia rasmi negara dengan usaha melindungi salah laku pemimpin kerajaan adalah bersifat prejudis dan tidak bertanggungjawab.

Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, beliau tidak faham mengapa pihak tertentu khususnya pembangkang berterusan menentang syor Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali kerana mencadangkan pindaan ke atas Akta Rahsia Rasmi 1972 bagi mengenakan hukuman lebih berat ke atas pembocor rahsia rasmi negara.

“Pertama sekali, seperti disebut Peguam Negara sendiri, hak untuk ‘mendapat, menerima dan mendedahkan maklumat’ sebagaimana tertera dalam Perkara 18 Perisytiharan Sejagat Hak-Hak Asasi Manusia tidak diterima pakai dan dilindungi di Malaysia, sebab itulah sehingga kini, kita tiada Akta Kebebasan Maklumat walaupun penyebaran maklumat dari pihak kerajaan itu sendiri sentiasa ada dari semasa ke semasa setakat yang dibenarkan undang-undang.

“Akta Rahsia Rasmi 1972 diwujudkan khusus bagi mengelakkan kebocoran rahsia rasmi yang ‘memudaratkan keselamatan atau kepentingan negara’ dan frasa ini ditegaskan berkali-kali di dalam akta ini, bukannya rahsia rasmi yang memudaratkan keselamatan atau kepentingan mana-mana pemimpin kerajaan, jadi tindakan mengaitkan cadangan pengenaan hukuman lebih berat ke atas pembocor rahsia rasmi negara dengan usaha melindungi salah laku pemimpin kerajaan adalah prejudis dan tidak bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan media di sini, semalam.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, baru-baru ini tersebar surat Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Pengerusi Lembaga Tabung Haji (LTH) Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim mengenai kedudukan kewangan LTH sehingga pencarum percaya mereka tidak akan mendapat dividen dan bonus, walhal semua perkara itu kemudiannya terbukti tidak benar.

Katanya, satu hakikat tidak dapat dinafikan sesiapa pun adalah pembocoran rahsia rasmi negara sebegitu mempunyai potensi sangat besar untuk memudaratkan keselamatan atau kepentingan negara, lebih-lebih lagi di dalam masyarakat berbilang kaum dan agama seperti negara kita yang keharmoniannya cukup mudah dikocak.

Disiarkan pada: February 11, 2016 @ 7:50am
d