mutakhir

63 perokok kantoi di RNR

Gurun: Seramai 63 lelaki ditahan dan diberi notis kompaun oleh Jabatan Kesihatan negeri di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Gurun, Lebuhraya Utara-Selatan, di sini, apabila mengingkari arahan larangan merokok yang dikuatkuasakan di kawasan berkenaan.

Tindakan ke atas mereka dilakukan dalam operasi Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 di R&R Gurun, di sini, semalam.

Selain itu, tiga premis perniagaan di kawasan berkenaan turut dikompaun RM250 kerana tidak mempamerkan papan tanda larangan merokok.

Pengarah Kesihatan Kedah Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, operasi bermula dari jam 8 pagi hingga 5 petang itu membabitkan pegawai dari Jabatan Kesihatan Negeri, Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Muda, Kota Setar, Pendang, Padang Terap, Yan, Baling, Sik dan Bandar Baharu.

Beliau berkata, 67 notis kesalahan dikeluarkan mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

“Seramai 63 orang (perokok) dikenakan notis mengikut peraturan 11 (1) (v) iaitu larangan merokok di kawasan R&R. Kami juga mengeluarkan tiga notis di bawah Peraturan 12 (1) (a) kerana gagal mempamerkan tanda larangan merokok,” katanya.

Dr Norhizan berkata, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun turut dikenakan kompaun atas kesalahan peraturan 13 (1) orang belum dewasa yang merokok.

“Mereka diberi notis kerana didapati merokok di tempat makan, di dalam tandas dan di hadapan tempat masuk ke kedai makan.

“Bagi kesalahan merokok di kawasan larangan, mereka dikenakan kompaun RM250 dan perlu membayarnya di mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah di Malaysia dalam tempoh 30 hari.

“Mereka yang gagal berbuat demikian boleh diambil tindakan mahkamah dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda maksimum RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Disiarkan pada: February 11, 2016 @ 7:56am
d