mutakhir

Serah Bashah lantik EXCO

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Alor Setar: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menyerahkan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, berhubung sebarang keputusan pelantikan Ahli Majlis Kerajaan Negeri (EXCO) Kedah yang baru.

Ahmad Bashah berkata, beliau bertemu dengan Perdana Menteri di ibu negara semalam bagi mengemukakan senarai barisan EXCO kerajaan negeri, namun Najib menyerahkan kepadanya untuk membuat keputusan sama ada berlaku perubahan atau sebaliknya.

“Saya kebetulan berjumpa Perdana Menteri hari ini (semalam) selepas selesai urusan di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan beliau menyerahkan keputusan barisan EXCO baru kepada saya untuk menentukannya.

“Mungkin dirombak ataupun tidak (barisan EXCO) masih dalam perbincangan, dan setakat ini belum ada keputusan,” katanya ketika ditemui selepas tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, di sini, semalam.

Kelmarin, beliau yang ditemui pada Majlis Tahun Baru Cina di Jalan Pegawai, di sini, mengakui sudah ada senarai barisan EXCO di bawah pentadbirannya.

Namun, beliau enggan mengulas lanjut sama ada senarai EXCO yang sudah ada di tangannya itu adalah barisan baru mahupun kekal seperti sedia ada.

Disiarkan pada: February 11, 2016 @ 8:08am
d