mutakhir

Majlis kahwin amal jariah

Kota Bharu: Majlis perkahwinan di Kampung Tiong di sini, semalam mencipta kelainan tersendiri apabila dimeriahkan dengan kehadiran lebih 100 anak yatim dan pelajar tahfiz sekitar Kelantan.

Lebih menarik, apabila tetamu menyumbang wang tunai kepada tuan rumah untuk disedekahkan buat jemputan istimewa yang datang dari Madrasah Ribat Al Mustofa, Machang, Rumah Anak Yatim Salimah, Bachok dan Madrasah Darul Ulum Ad-Diniah, Pasir Mas.

Tabung khas turut disediakan untuk memudahkan tetamu yang hadir menghulurkan sumbangan.

Mohd Zain Yusof, 64, berkata, dia lama merancang mengadakan aktiviti amal dalam majlis perkahwinan anak perempuannya, Siti Mariam, 22, dan menantunya, Raja Mohd Azeri Raja Awang, 22,

Katanya, perkara itu turut mendapat persetujuan semua ahli keluarganya dan berhasrat meneruskannya pada majlis perkahwinan anak lain selepas ini.

“Saya percaya, dengan bersedekah Tuhan akan melimpahkan rezeki pendermanya dan alhamdulillah, tetamu yang hadir turut menderma.

“Di samping bergembira, kita tidak boleh melupakan mereka yang kesusahan, justeru saya mengambil pendekatan ini untuk beramal,” katanya.

Disiarkan pada: February 11, 2016 @ 8:20am
d