mutakhir

Ecah masih tunggu luka untuk kering

Klang: Mangsa kemalangan yang putus kedua-dua kaki akibat digilis lori, Siti Nuraisyah Sahrin, 13, atau Ecah kini masih menunggu luka itu kering supaya dapat dijahit.

Abangnya, Huzaini Sahrin, 26, berkata, proses mencuci bahagian luka berkenaan masih dilakukan setiap hari bagi mengelak dijangkiti kuman.

“Saya dapati luka di kaki Ecah semakin pulih, tetapi doktor masih tidak memaklumkan bila luka berkenaan dapat dijahit,” katanya di sini semalam.

Huzaini berkata, mereka sekeluarga sentiasa berdoa semoga kesihatan Ecah bertambah baik seterusnya dibenarkan pulang.

Menurutnya, tiada lagi pembedahan akan dilakukan, hanya proses menjahit luka selain adiknya itu masih menjalani fisioterapi seperti biasa.

Dia berkata, luka yang dialami Ecah besar dan mungkin mengambil masa lama untuk kering serta rapat semula.

Dalam pada itu, menurutnya, adiknya perlu mengambil antibiotik secara kerap untuk cepat sembuh.

Siti Nuraisyah terbabit dalam kemalangan 18 Januari lalu di Parit 16 Sungai Panjang kini masih menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini.

Disiarkan pada: February 12, 2016 @ 7:38am
d