mutakhir

Ubah sikap peniaga

Oleh Ayusliza Azizan

Banting: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) berusaha mengubah sikap peniaga Pasar Awam Banting bagi menarik semula kehadiran orang ramai ke pasar itu.

Sehubungan itu, konsep 5S (Sisih, Susun, Sapu, Seragam dan Sentiasa Amal) diperkenalkan supaya dapat mewujudkan persekitaran selesa, kemas dan selamat.

Penolong Pegawai Penerangan MDKL Shahrulnizam Khalil berkata, itu langkah pertama daripada MDKL dengan memberi pendidikan dan kesedaran berkaitan kebersihan yang menjadi faktor utama menarik pengguna datang ke pasar.

“Seramai 152 peniaga di Pasar Awam Banting diberikan taklimat berkaitan kebersihan bagi peringkat permulaan dan kami akan mengadakan lawatan mengejut bagi memastikan mereka akur dengan arahan dikeluarkan.

“Tindakan menamatkan kontrak diambil kepada peniaga yang tidak akur dengan arahan selepas teguran secara lisan dan bertulis diberikan,” katanya ditemui pada Taklimat Kualiti Persekitaran dan Gotong-Royong Bersepadu, di sini, semalam.

Shahrulnizam berkata, lebih 150 orang termasuk kakitangan MDKL dan peniaga terbabit dalam gotong-royong bagi membersihkan kawasan pasar.

Beliau berkata, pihaknya yakin menjelang hujung tahun ini, Pasar Awam Banting akan menjadi pasar terbersih selepas peniaga memberi maklum balas positif.

Disiarkan pada: February 12, 2016 @ 9:05am
d