mutakhir

Belajar di lantai

Oleh Hassan Omar

Alor Gajah: Sebahagian besar daripada 84 murid Sekolah Rendah Islam (SRI) al-Munawarah di Kampung Pulau, Durian Tunggal di sini, mungkin terpaksa menulis di atas lantai apabila kelas kembali dibuka Isnin ini.

Ini kerana hampir keseluruhan meja tulis diperbuat daripada papan lapis di sekolah berkenaan rosak akibat banjir.

Difahamkan, pentadbir sekolah tidak mampu menyediakan kemudahan meja tulis baru kerana kekangan kewangan.

Guru Penolong Kanan (GPK) sekolah agama persendirian itu, Mirani Achah berkata, sekolah terbabit dinaiki air Ahad lalu berikutan kolam takungan air milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang terletak tidak jauh dari sekolah berkenaan melimpah.

“Kami tidak sempat berbuat apa-apa kerana paras air meningkat sehingga separas leher.

“Apabila air surut Selasa lalu, kami dapati meja tulis rosak,” katanya kepada Harian Metro ketika ditemui di sekolah itu, semalam.

Mirani berkata, SRI al-Munawarah diasaskan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Pertubuhan dan Pendidikan al-Munawarah Melaka pada 1988 dan kini diletak di bawah kepemimpinan Mudir atau Guru Besar, Safrie Syafie.

Seramai 64 murid tahun satu hingga tahun lima bersekolah di situ selain 20 murid pra sekolah dengan pembelajaran dikendalikan lapan guru.

Mirani berkata, selain kerosakan meja tulis, 1,600 naskhah buku tulis yang baru tiba dan disimpan di tingkat bawah bangunan dua tingkat itu turut musnah.

“Buku itu baru tiba minggu lalu. Kami bercadang mengangkatnya ke tingkat atas apabila sekolah dibuka semula minggu depan,” katanya.

Sumbangan boleh dihulur dengan menghubungi pejabat sekolah di talian 06-5534601, Mirani di 017-6020332 serta Safrie di 016-7887060.

Disiarkan pada: February 12, 2016 @ 9:38am
d