mutakhir

Stor barang perkahwinan hangus

Hulu Langat: Sebuah stor simpanan peralatan dan barangan perkahwinan musnah dalam kebakaran di Kampung Nurul Iman, Jalan Kuari Sungai Long, semalam.

Dalam kejadian jam 3 pagi itu, kebakaran bermula dari bahagian belakang sebelum merebak ke hadapan stor.

Penduduk, Muhammad Rizal Razali, 30, berkata, dia terjaga dari tidur selepas terdengar bunyi letupan di luar rumahnya.

“Letupan itu sangat kuat dan saya bergegas keluar untuk melihat apa yang berlaku.

“Saya melihat 50 peratus dari stor berkenaan sudah dijilat api,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, sebaik dia keluar dari rumah, api semakin marak dan dia segera mengejutkan jiran.

“Kami segera mengambil air untuk memadamkan api namun ia semakin marak.

“Jarak antara rumah saya dan stor berkenaan sejauh dua meter saja. Apa yang saya risaukan adalah keselamatan keluarga namun mujur bomba tiba secepat mungkin,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 3.20 pagi dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi, api semakin marak dan anggota segera memadamkan kebakaran.

“Stor berkenaan musnah sepenuhnya dan semasa kejadian pemilik stor tiada di lokasi,” katanya.

Beliau berkata, punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

Disiarkan pada: February 12, 2016 @ 9:49am
d