mutakhir

Bendang SRI tarikan Taman Warisan Pertanian

Putrajaya: Penanaman padi organik menggunakan Sistem Intensifikasi Padi (SRI) menjadi antara tarikan pengunjung ke Taman Warisan Pertanian di Presint 16, di sini.

Sebanyak 15 petak sawah padi dipamerkan kepada pengunjung dari dalam dan luar negara bagi membolehkan mereka menyaksikan tanaman padi yang menjadi penyumbang ekonomi negara.

Pengunjung, Fatin Nabilah Abdul Hamid 24, berkata, dia teruja melihat keindahan sawah padi seperti di kampung yang dipamerkan di tengah pusat pentadbiran kerajaan.

“Melihat sawah padi di sini mengimbau kenangan keindahan bendang pada suatu masa dahulu kerana adanya patung ‘orang-orang’ yang semakin jarang kelihatan kini,” katanya.

Pada masa sama, dia yang juga penuntut Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Taman dan Ameniti Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor berkata, penanaman padi di tapak berkenaan sangat sesuai untuk pembelajaran kanak-kanak, sekali gus memperkenalkan warisan penanaman padi ini kepada generasi baharu.

“Ia lokasi terbaik bagi kanak-kanak belajar mengenai tanaman padi yang menjadi makanan ruji masyarakat Malaysia.

“Lawatan ke plot sawah padi juga memberi pendendahan kepada mereka yang tidak pernah melihat secara dekat dan membantu memahami mengenainya,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Operasi Taman Warisan Pertanian Faizal Najib Abdullah berkata, penanaman padi organik sebahagian usaha memperkenalkan hasil pertanian di negara ini.

Katanya, tanaman padi yang diusahakan dengan Lembaga Penyatuan Dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) ini mendapat sambutan baik daripada pelancong tempatan dan asing kerana mereka berpeluang melihat dan mendapatkan penerangan penanaman padi menggunakan kaedah SRI daripada fasilitator di sini.

“Ini inisiatif membantu pengunjung memahami proses tanaman padi menggunakan kaedah SRI yang tidak menggunakan baja kimia dan racun perosak.

“Kaedah ini juga mengurangkan pencemaran alam akibat penggunaan bahan kimia dan agrokimia, sekali gus menjaga kesihatan selain peningkatan hasil tanaman,” katanya.

“Setakat ini kami menerima kunjungan daripada pelajar luar negara seperti Korea, Jepun, Taiwan, dan China yang masing-masing teruja mempelajari penanaman kaedah SRI di sini.

“Kita juga masih dalam perancangan melakukan demostrasi berkenaan tanaman padi yang dapat memberi kepuasan kepada pengunjung melihat proses semaian padi terutama kepada pelancong asing,” katanya.

Padi atau nama saintifiknya Oryza Sativa mempunyai pelbagai khasiat yang mengandungi karbohidrat sebagai sumber tenaga serta kaya dengan vitamin dan bebas kolestrol.

Padi dihasilkan secara organik dapat menghasilkan beras yang mempunyai lebih khasiat kerana diproses tanpa penggunaan bahan kimia dari awal penanaman sehingga pengolahan menjadi beras dengan hanya menggunakan kompos semulajadi.

Disiarkan pada: February 12, 2016 @ 9:58am
d