mutakhir

Asak sampai pinggir bandar

Oleh Norizuan Shamsuddin

Kuala Lumpur : Beroperasi secara sulit di pinggir bandar dan mengawal rapi premis dengan kelengkapan sistem kamera litar tertutup (CCTV).

Itu taktik digunakan pengendali premis judi atas talian di pinggir bandar Selangor dan Perak bagi mengesan kehadiran pihak berkuasa.

Bagaimanapun, tindakan terbabit gagal mematahkan serbuan Pasukan Tindakan Khas Anti Maksiat, Judi dan Gangsterisme (STAGG) apabila 43 individu ditahan di lapan premis judi atas talian di pinggir bandar Selangor dan Perak, semalam.

Ketua Penolong Pengarah STAGG Senior Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, mereka ditahan menerusi Op Limau bermula jam 6.30 petang dan berakhir jam 11.45 malam.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 10 penjaga premis ditahan membabitkan lima warga tempatan dan lima warga Bangladesh, Indonesia dan Vietnam.

“Manakala, seramai 31 kaki judi warga tempatan ditahan bersama dua warga Indonesia ketika leka membuat pertaruhan.

“Serbuan dilakukan membabitkan lima premis di Selangor iaitu empat di Batang Kali dan satu di Taman Bawal Putih Jeram. Tiga premis lagi di Perak iaitu dua di Behrang dan satu di Taman Wangsa Jaya, Tanjung Malim.

“Polis turut merampas wang tunai berjumlah RM4,272 bersama komputer (117 unit), tablet (20 unit), telefon bimbit (11 unit), perakam CCTV, dokumen perniagaan serta empat parang dan satu pedang,” katanya.

Disiarkan pada: February 12, 2016 @ 10:14am
d