mutakhir

Sedekah ayat suci bila rindu

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Genap setahun pemergian Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat atau Tok Guru akibat penyakit kanser prostat, semalam, tiada sebarang majlis tahlil atau bacaan al-Quran beramai-ramai diadakan.

Sebaliknya, menurut ahli keluarga terdekat Allahyarham Tok Guru, ketiadaan majlis begitu sebagai menghormati permintaan Allahyarham yang tidak mahu pemergiannya dikenang secara begitu.

Ketika hayatnya, Tok Guru yang juga bekas Menteri Besar Kelantan berpesan supaya semua ahli keluarga, masyarakat dan mana-mana pihak yang merinduinya memberi sedekah ayat suci al-Quran secara individu.

“Arwah lebih senang orang mengingatinya dengan cara sedekahkan ayat suci setiap kali rindukannya, tidak perlu buat tahlil atau majlis lain,” katanya enggan dikenali.

Tinjauan Harian Metro ke Tanah Perkuburan Pulau Melaka, di sini, sebelum dan selepas solat Jumaat semalam mendapati, beberapa individu dan masyarakat kampung terdekat menziarahi kubur Tok Guru seperti hari biasa.

Perkara berkenaan diakui penduduk Kampung Panji, di sini, Lazrul Sainudin, 34, yang memberitahu, setiap hari pasti ada individu melawat kubur Tok Guru untuk membacakan Surah Yassin dan al-Quran.

Katanya, perkara itu rutin biasa termasuk dirinya yang akan meluangkan masa ke situ apabila berkesempatan.

“Saya lihat ada penduduk ke sini untuk menziarahi pusara Allahyarham sebagai tanda ingatan kepada pemimpin yang pernah berjasa kepada Kelantan,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Pulau Melaka, di sini, semalam.

Sementara itu, bekas pengawal peribadi Tok Guru, Ku Razali Ku Jid, 46, berkata, dia bersama anak menziarahi tanah perkuburan itu ketika mempunyai masa terluang.

Dia yang menjadi pengawal peribadi Allahyarham Nik Abdul Aziz selama 10 tahun sehingga akhir nafas pemimpin itu berkata, tiada siapa yang menandingi pemimpin itu kerana sifatnya yang merendah diri.

“Sepanjang bekerja dengannya, banyak kenangan manis yang saya kumpul malah berpeluang menjejak kaki ke Tanah Suci untuk menunaikan umrah dan menjaganya pada setiap majlis dihadiri.

“Sebagai tanda ingatan, saya membawa anak menziarahi pusara arwah untuk membacakan surah Yasin dan al-Quran,” katanya.

Pada 12 Februari tahun lalu tepat jam 9.40 malam, Nik Abdul Aziz menghembuskan nafas terakhir di sisi ahli keluarga di rumahnya di Pulau Melaka selepas menderita kanser prostat.

Beliau meninggal dunia pada usia 84 tahun adalah Mursyidul Am PAS, meninggalkan isteri Tuan Sabariah Tuan Ishak dan 10 anak.

Disiarkan pada: February 13, 2016 @ 6:16am
d