mutakhir

Syukur dapat jambatan

Kuala Krai: Hanya kesyukuran dilafaz penduduk Kampung Biak, Dabong di sini dan sekitarnya selepas menerima kemudahan Jambatan Sungai Pergau, menggantikan bot penambang yang digunakan lebih 50 tahun.

Penantian mereka untuk mempunyai kemudahan infrastruktur akhirnya berakhir apabila mula menggunakan jambatan konkrit bernilai RM28 juta itu sejak dua bulan lalu.

Penduduk Kampung Biak, Zainal Ahmad Hussin, 60, bersyukur kerana jambatan utama yang menghubungkan kampungnya ke Kampung Kandek, Dabong itu siap dan membolehkan mereka melakukan aktiviti harian dengan lancar.

Katanya, menggunakan bot sebelum ini mengehadkan aktiviti mereka terutama apabila bot penambang kecil dan terpaksa menunggu giliran.

“Saya mempunyai kebun buah dan sukar nak membawa keluar buah-buahan yang sudah ranum memandangkan hanya ada sebuah sahaja bot penambang.

“Selain itu perjalanan dengan bot akan mengambil masa 15 minit dan selepas itu, kami perlu menunggu pula kereta di seberang. Jika mahu ke bandar atau ke hospital, sudah ‘tersangkut’ di situ.

“Akibat kekurangan ini dan banyak masa yang dibazirkan, adik saya yang menghidap asma meninggal dunia enam tahun lalu ketika sedang menunggu kereta.

“Memang sudah sampai ajalnya, tetapi kesusahan begini menyebabkan kami amat memerlukan jambatan dan infrastruktur yang baik,” katanya ketika ditemui selepas perasmian Jambatan Sungai Pergau, Dabong, di sini, kelmarin.

Jambatan sepanjang 320 meter bernilai RM28 juta itu dijangka memanfaatkan lebih 3,000 penduduk kampung itu dan Kampung Jenal serta Ladang Rakyat dirasmikan oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Disiarkan pada: February 13, 2016 @ 6:20am
d