mutakhir

3,000 sertai Malam Cinta Rasul

Sungai Petani: Lebih 3,000 penduduk membanjiri Dataran Zero di sini, bersama Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah bagi menyertai majlis Malam Cinta Rasul, kelmarin.

Program anjuran Pejabat Daerah Kuala Muda itu turut menampilkan penceramah terkenal Datuk Kazim Elias sebagai penceramah utama yang dimulakan dengan solat Maghrib disusuli bacaan Yasin dan solat Isyak.

Dalam ceramah selama satu jam setengah, Kazim turut meminta semua umat Islam di negeri ini tidak saling bertelingkah dan tuduh-menuduh, sebaliknya bersatu kerana berbaik-baik sesama agama satu kewajipan.

“Kita mengaku semua umat Islam itu adalah saudara seagama tetapi kenapa wujud pelbagai pertelingkahan, tuduh-menuduh dan cerca-mencerca sesama sendiri. Di manakah pegangan agama kita sedangkan kita mengaku sebagai orang Islam,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Kuala Muda Abdul Rahman Ismail berkata, program itu diadakan supaya umat Islam di daerah ini dan Kedah amnya sentiasa mengingati Rasulullah serta perjuangan baginda dalam menegakkan Islam.

Beliau berkata, pihaknya bersyukur kerana majlis berkenaan mendapat sambutan baik daripada penduduk dan tidak menyangka kehadiran yang begitu ramai.

“Alhamdulillah melalui majlis seperti ini dapat menyatupadukan umat Islam. Insya-Allah majlis mulia seperti ini akan diteruskan pada masa depan supaya kita sama-sama sentiasa mengingati Nabi Muhamad SAW,” katanya.

Disiarkan pada: February 13, 2016 @ 6:20am
d