mutakhir

Ceriaku teragut

Senja itu, Muhamad Muhsin berseronok dengan rakannya bermain di kawasan penempatan di bandar Sarmin, Idlib di Syria.

Menjelang waktu Maghrib, dia berjalan pulang ke rumahnya apabila tiba-tiba terdengar bunyi letupan yang sangat kuat menyebabkan Muhsin yang baru berusia 10 tahun ketika itu turut melambung terkena serpihan batu.

Dalam kejadian tiga tahun lalu itu, kawasan penempatan Muhsin tinggal diserang secara tiba-tiba pasukan kereta kebal tentera rejim Syria dan dia kini lumpuh buat selama-lamanya apabila serpihan batu rumahnya yang dibedil melambung ke arah badannya.

“Saya rasa kebas seluruh badan. Ada rakan lain meraung kesakitan dan turut bergelimpangan di kawasan kaki lima tempat kami bermain.

“Apa yang saya tahu kemudian sudah berada di hospital. Ayah memberitahu tulang belakang saya patah dan saya tidak akan dapat berjalan lagi,” katanya ketika ditemui di sekolah pelarian Syria inisiatif Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care), di sini.

Selepas beberapa bulan dirawat di hospital bandar Idlib, ayah Muhsin mengambil keputusan membawa dia tiga beradik berhijrah melarikan diri keluar dari bumi Syam dan menumpang di tanah sempadan Turki-Syria di Reyhanli.

Bapanya terpaksa mendukung Muhsin sejauh tiga kilometer berjalan kaki dan diekori dua beradik lain untuk melepasi sempadan.

Dia bersyukur dapat keluar dari ‘neraka dunia’ sebab kekejaman rejim Bashar al-Assad menghapuskan penentangnya tidak mengenal usia dan tidak berperikemanusiaan.

Ketika ini, dia antara 25 kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) ditempatkan di satu daripada tujuh sekolah diuruskan Muslim Care.

Rakan sekelasnya, Walid Samir dari Homs pula kini menderita tangan kiri tidak berfungsi walaupun sudah tujuh kali menjalani pembedahan menyambung urat putus.

“Masa itu Walid baru berusia sembilan bulan ketika rumah kami menjadi sasaran bom yang dijatuhkan pesawat dari udara.

“Kakak Samir iaitu Iyarah kini berusia tujuh tahun terkena serpihan bom di bahagian mata menyebabkannya buta selama tujuh bulan...penglihatannya sekarang masih kabur selepas pembedahan,” kata Samir Walid, 32, ayah kepada dua anak yang cacat akibat menjadi mangsa peperangan.

Dua pakar paediatrik Muslim Care iaitu Dr Mohd Zaqrul Razmal Mohd Podzi dan Dr Syariz Izry Sehat yang mengikuti misi bantuan musim sejuk kali ini turut merawat pelarian Syria terbabit.

Disiarkan pada: February 13, 2016 @ 6:47am
d