mutakhir

Rakyat nikmati limpahan

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

Kota Tinggi: Di awal pembinaan projek Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC), ia mendapat pelbagai reaksi penduduk kampung sekitar Pengerang, namun kini manfaat projek berkenaan kian dinikmati.

Rata-rata penduduk Pengerang yang dulu terbabit dalam proses pemindahan bagi memberi laluan projek PIPC itu kini ada yang bergelar usahawan.

Pengerusi Koperasi Pengerang Jaya Johor Berhad (KOPEJA), Zebree Hashim menubuhkan koperasi yang khusus untuk penduduk Pengerang bagi meningkatkan taraf ekonomi mereka.

Anak jati Pengerang itu yang telah menceburi bidang perniagaan selama lebih 10 tahun yakin melalui KOPEJA yang ditubuhkan pada 2014.

Dengan keahlian seramai 70 orang pada awal penubuhannya, Zebree yakin lebih ramai penduduk tempatan akan menceburi bidang keusahawanan seiring dengan pembangunan PIPC.

“Ketika mendapat berita projek PIPC membabitkan tujuh kampung untuk berpindah, memang satu kejutan apatah lagi kebanyakan kami adalah petani dan nelayan.

“Namun, kami gembira kerana Pengerang bakal berubah wajah daripada sebuah kampung kecil menjadi hab petroleum dan gas hiliran terkemuka di rantau ini,” katanya ketika ditemui di Kompleks Penghulu Pengerang di sini, baru-baru ini.

Ahli KOPEJA kini mencecah 472 orang dan jumlahnya dijangka meningkat selepas penduduk melihat manfaat daripada projek PIPC.

Ini selaras dengan aspirasi Y.A.B. Dato’ Mohamed Khaled Nordin, Menteri Besar Johor yang ingin melihat koperasi tempatan terbabit secara langsung dalam pembangunan PIPC.

“Dulu kita lebih menjurus kepada perusahaan katering dan produk makanan, namun melalui inisiatif berterusan Johor Petroleum Development Corporation (JPDC), kita yakin peranan industri minyak dan gas ini berpotensi besar untuk dimajukan.

“Justeru, KOPEJA diberi peluang oleh PETRONAS selaku pelabur terbesar di PIPC untuk membekalkan diesel kepada kontraktor di tapak Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) sejak Oktober tahun lalu,” katanya.

Hasil kerjasama penduduk, Zebree berjaya membawa KOPEJA menjalankan pelbagai perniagaan lain seperti pengangkutan untuk pekerja projek, membekal air minuman serta penyewaan kenderaan.

Ketika ditanya cabaran dihadapi anak tempatan untuk menceburi bidang perniagaan, Zebree berkata:

“Kita berharap pihak tertentu membantu masyarakat di sini menyediakan lebih ruang atau premis perniagaan yang mampu dimiliki anak tempatan yang ingin menceburi bidang perniagaan.

“Kami juga berharap JPDC akan meneruskan usaha dengan mengadakan Program Keusahawanan Masyarakat Pengerang bagi memastikan agenda pembangunan Bumiputera di Pengerang tercapai.

“Ini termasuk program latihan pensijilan yang diiktiraf dan kompetitif untuk golongan muda yang berminat menceburi bidang ini,” katanya.

Disiarkan pada: February 13, 2016 @ 7:01am
d