mutakhir

Dua beranak cemas terperangkap dalam lif

Seorang ibu dan anak perempuannya menempuh detik cemas selepas terperangkap hampir 30 minit dalam lif di bangunan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Jalan Tunku Abdul Rahman di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10.50 pagi, mangsa berusia 53 tahun yang enggan dikenali berkata, sebelum kejadian, dia dalam perjalanan menuju ke pejabatnya terletak di tingkat satu bangunan itu.

“Ketika itu, anak perempuan berusia 19 tahun turut menemani saya untuk berjumpa seorang rakan sekerja di pejabat.

“Bagaimanapun, keadaan dalam lif kemudian menjadi gelap dan lif tidak bergerak naik,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurutnya, mereka yang mula bimbang berlaku perkara tidak diingini termasuk kekurangan oksigen mula meraba-raba sekitar dinding lif bagi mencari butang kecemasan.

“Alhamdulillah, saya berjaya menemuinya dan menekan butang berkali-kali sebelum didengari dua pengawal keselamatan bangunan yang bertugas.

“Saya kemudian duduk dan berzikir dalam keadaan gelap selain turut meminta anak bertenang bagi mengelakkan panik,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Mohd Affendy K Ramin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Disiarkan pada: February 14, 2016 @ 5:17am
d