mutakhir

Lesen memburu dikurang

Kuala Berang: Kerajaan akan mengurangkan lesen memburu bagi mengekalkan ekosistem hutan, sekali gus mengelak kepupusan rantaian makanan haiwan liar seperti harimau.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, penguatkuasaan sudah sedia ada, tetapi perlu diperkasakan bagi memastikan haiwan seperti harimau dan gajah yang sedang diancam kepupusan terus dilindungi.

Beliau berkata, daripada sudut penguatkuasaan, kementerian mempunyai program kerjasama dengan tentera dan polis untuk mengawal aktiviti pemburuan haiwan terancam yang menunjukkan kejayaan.

“Bagaimanapun, dalam kes haiwan terancam seperti harimau, ia adalah haiwan yang sensitif dan ada ekosistem tersendiri.

“Jadi, saya tidak mahu lagi mendengar banyak lesen dikeluarkan untuk memburu haiwan seperti rusa, pelanduk dan babi hutan yang menjadi makanan kepada harimau.

“Jika haiwan yang menjadi makanan kepada harimau tiada, kita bimbang ia masuk ke penempatan manusia.

“Disebabkan itu, kerajaan sedang mengkaji keperluan memperkasakan undang-undang bagi membendung masalah pemburuan haram terutama yang membabitkan kepupusan haiwan terancam,” katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dan kerajaan negeri bagi program pemuliharaan gajah di Pusat Konservasi Gajah Tasik Kenyir, di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Osman Muda dan Ketua Setiausaha kementerian Datuk Azizan Ahmad.

Wan Junaidi berkata, langkah kerajaan negeri membina Pusat Konservasi Gajah di Tasik Kenyir itu adalah satu usaha terpuji bagi membantu kerajaan persekutuan memelihara dan melindungi spesies yang semakin pupus.

“Ketika ini, anggaran populasi gajah di Semenanjung Malaysia adalah antara 1,220 hingga 1,680 ekor yang mana sebanyak 120 hingga 140 ekor masih bertaburan di seluruh Terengganu,” katanya.

Menurutnya, ketika ini, pemburu haram boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 68 (1) (c) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) memperuntukkan hukuman denda maksimum sehingga RM500,000 dan penjara lima tahun.

Katanya, pihaknya juga sedang mengkaji keperluan memperkasa undang-undang bagi menangani masalah pemburuan haram.

Disiarkan pada: February 15, 2016 @ 6:20am
d