mutakhir

Goyang dadah Afrika

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa

Petaling Jaya: Ketagih berhibur hingga subuh selain cuba membawa budaya ‘goyang dadah Afrika’ ke negara ini.

Itu antara aktiviti ratusan lelaki dan wanita warga Afrika yang ditahan polis ketika berhibur di sebuah pusat hiburan di Jalan Universiti di sini, pada jam 6.30 pagi semalam.

Malah difahamkan, pusat hiburan itu menjadi tumpuan pengunjung warga Afrika khususnya golongan penuntut benua Afrika berikutan beroperasi sepanjang malam tanpa henti.

Premis hiburan berkenaan turut menjadi tumpuan berikutan pelanggan turut mudah memperoleh bekalan dadah ketika berhibur.

Bagaimanapun, aktiviti jenayah itu dibongkar susulan tindakan sepasukan pegawai dan anggota Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman menyerbu premis itu, awal pagi kelmarin.

Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, ketika serbuan dijalankan pada jam 6.30 pagi, ratusan pengunjung ‘awang hitam’ masih leka berhibur dan pusat hiburan itu sarat dengan pengunjung Afrika.

“Kami melakukan pemeriksaan terhadap 88 wanita dan 117 lelaki yang mengunjungi pusat hiburan berkenaan.

“Ujian saringan air kencing mendapati 11 wanita dan empat lelaki positif dadah. Mereka berada dalam keadaan khayal ketika ditahan,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan terhadap lesen pusat hiburan berkenaan mendapati premis itu tidak mempunyai lesen yang sah selain beroperasi lebih dari tempoh masa ditetapkan.

“Daripada 20 individu ditahan, dua adalah rakyat tempatan dan selebihnya warga Afrika seperti Nigeria, Congo, Kenya dan Ghana.

“Kebanyakan mereka yang ditahan adalah penuntut dan seorang suspek lelaki didapati tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya.

Kejayaan itu turut mendapat pujian Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi akaun Twitter dan Facebook beliau yang menyatakan semua suspek ditahan selepas didapati positif dadah dan tidak memiliki dokumen yang sah.

Semua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk tindakan lanjut.

Disiarkan pada: February 15, 2016 @ 6:25am
d