mutakhir

Ekspedisi ke Antartika kumpul 200 sampel kajian

Sepang: Usaha gigih lapan penyelidik Malaysia menjejakkan kaki ke Antartika menerusi Ekspedisi Penyelidikan Saintifik Malaysia ke Antartika 2016 memperoleh lebih 200 sampel yang akan direkodkan dalam kajian saintifik dijalankan mereka.

Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah berkata, antara sampel yang dikumpulkan seperti air, alga, sedimen, lumut, batuan, haiwan tidak bertulang belakang di dalam laut, debunga, tanah dan merekodkan bacaan gas rumah hijau dalam udara serta data geomagnetik.

Menurutnya, sampel berkenaan dianalisis di sana malah, ada dibawa pulang ke negara ini untuk dibuat kajian selanjutnya.

“Segala sampel dan bacaan direkodkan adalah untuk beberapa kajian saintifik berhubung kait dengan Antartika, biodiversiti dan perubahan iklim, selain penekanan kepada kajian gas rumah hijau dan lapisan ozon.

“Hasil kajian ini menyumbang kepada penjanaan ilmu dan pengetahuan baru yang membantu masyarakat tempatan dan global lebih memahami fenomena perubahan iklim,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyambut ketibaan lapan penyelidik Malaysia diketuai pensyarah Fakulti Kejuruteraan Elektrik Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr Mohamad Huzaimy Jusoh yang tiba ke tanah air jam 3 petang, semalam.

Sebelum ini, lapan penyelidik terbabit berlepas pada 18 Januari lalu dan melakukan pelayaran menggunakan kapal layar dikenali ‘Yatch Australis’.

Ekspedisi berkenaan bermula dari Pelabuhan Ushaia, Argentina dan perjalanannya ke Antartika dianggarkan 1,000 kilometer.

Disiarkan pada: February 15, 2016 @ 6:57am
d