mutakhir

Jual kereta tak wujud

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Kuala Lumpur: Jual ratusan model kereta yang tidak wujud melalui portal web terkenal. Malah penjenayah turut ‘meminjam’ nama dan alamat pemilik kedai menjual kenderaan sebenar untuk memperdaya mangsa.

Sehingga kini beratus individu menjadi mangsa taktik berkenaan apabila bertindak membayar wang deposit membeli kereta kepada penjenayah terbabit.

Sindiket turut menggunakan beberapa nama syarikat menjual kereta terkemuka di Lembah Klang bagi meyakinkan mangsa kononnya mereka menjual kereta.

Difahamkan sindiket penipuan dengan modus operandi itu semakin agresif apabila dikesan menggunakan pelbagai laman web termasuk portal Mudah.My untuk memerangkap mangsa.

Bagaimanapun taktik penipuan sindiket dihidu apabila dua mangsa yang mendepositkan wang tunai menyedari diperdaya.

Pemilik premis menjual kenderaan, John Lee, 39, berkata, dia menyedari namanya ‘dijaja’ sindiket itu apabila dihubungi dua individu minggu lalu yang mendakwa mahu mengambil kereta model Perodua Kancil dan Kelisa.

Menurutnya, dua individu itu mendakwa sudah mendepositkan wang masing-masing RM1,000 dan RM2,500 selepas melihat iklan di laman web Mudah.My.

“Saya berasa hairan kerana tidak pernah membuat iklan di Mudah.My, lagipun syarikat menjual kereta saya tidak ada menjual kereta model itu (Perodua Kelisa dan Kancil).

“Sebaik menjelaskan perkara sebenar, mangsa menuduh saya menipu mereka sedangkan saya tidak pernah menjual kereta dalam talian,” katanya dalam sidang media di Biro Aduan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM), semalam.

John Lee memberitahu ekoran itu dia membuat laporan di Balai Polis Kepong untuk tindakan lanjut selepas ada pihak menggunakan nama syarikat menjual kereta miliknya di Batu Caves, di sini, untuk memperdayakan orang ramai.

Sementara itu, Pengerusi Biro Aduan Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Wilson Lau Hoi Keong berkata, keinginan mahu membeli kenderaan pada harga murah dan gopoh menjadi punca ramai mangsa mudah ditipu.

Disiarkan pada: February 16, 2016 @ 6:56am
d