mutakhir

'Dia pergi mengejut'

Oleh Zulfa Mohamad

Butterworth: “Saya tak sangka arwah suami demam denggi kerana sebelum itu, tiada tanda dia menghidap demam berkenaan,” kata Hasnah Aziz, 34, yang kematian suami pada 10 Januari lalu.

Menurutnya, suaminya Mohd Raffei Ramli, 30, antara sembilan mangsa yang meninggal dunia akibat denggi di negeri ini dalam tempoh 45 hari bermula 1 Januari lalu.

Hasnah dari Pangsapuri Ampang Jajar di sini, berkata, pada mulanya dia menyangka arwah suaminya hanya demam biasa berikutan tidak tanda menghidap denggi.

“Ketika mula demam, saya hantar arwah ke Klinik Kesihatan Mak Mandin, tetapi dimaklumkan dia hanya demam biasa.

“Selepas pulang dari klinik, keadaannya bertambah teruk termasuk muntah dan cirit-birit,” katanya selepas dikunjungi Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan pegawai Jabatan Kesihatan negeri di kediamannya, semalam.

Curiga dengan demam berlarutan, Mohd Raffei bertemu ahli persatuan kebajikan di Bayan Baru untuk mengenal pasti status kesihatannya sebelum keadaannya bertambah serius lalu ditempatkan di surau di pusat berkenaan.

Hasnah berkata, suaminya menghembuskan nafas terakhir tidak lama selepas ditempatkan di surau berkenaan sebelum dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk dibedah siasat.

“Pada mulanya, hasil bedah siasat mendapati arwah menghadapi masalah buah pinggang bernanah, namun ujian darah selepas itu mengesahkan dia menghidap denggi,” katanya yang mempunyai lima anak berusia empat hingga 11 tahun.

Selain Mohd Raffei, seorang ibu tunggal berusia 50-an yang tinggal di pangsapuri sama turut meninggal dunia akibat denggi.

Hasnah berkata, sebelum kematian suaminya, ada beberapa kes demam denggi di pangsapuri berkenaan, tetapi tidak menyebabkan kematian.

Sementara itu, Lim berkata, sehingga 13 Februari tahun ini, 1,014 kes denggi dilaporkan di negeri ini berbanding hanya 908 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

“Bagaimanapun, kes kematian meningkat 350 peratus tahun ini iaitu sembilan kematian berbanding dua kematian dalam tempoh sama tahun lalu,” katanya.

Disiarkan pada: February 16, 2016 @ 7:02am
d