mutakhir

4% ciptaan dikomersial

Serdang: Sebanyak 4,000 inovasi atau ciptaan dihasilkan universiti awam (UA) dalam tempoh empat tahun terakhir dengan 4 peratus daripadanya berjaya dikomersialkan.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata, statistik itu tidak jauh berbeza dengan universiti di Amerika Syarikat yang mengkomersialkan 4.5 peratus daripada semua inovasi yang dicipta.

Beliau berkata demikian selepas melawat pameran Show Case Produk Inovasi UPM-MPOB di Ladang Kelapa Sawit, Taman Pertanian Universiti, UPM di sini, semalam.

Beliau berkata, Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya mencipta dan mengkomersialkan 109 harta intelek sejak 1990 sehingga kini dan mencatatkan jualan kasar RM52 juta.

Katanya, ia adalah satu kejayaan di sebalik cabaran yang perlu dilalui universiti sebelum sesuatu inovasi itu berjaya dikomersialkan.

“Pengkomersialan yang membawa hasil jualan kasar kumulatif RM52 juta itu membuktikan usaha mengkomersialkan ciptaan mampu menjana pendapatan walaupun prosesnya memakan masa,” katanya.

Pada pameran itu, 10 inovasi ciptaan bersama UPM dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dipamerkan, antaranya E-Cutter iaitu teknologi sabit elektrik bagi memetik dan memotong pelepah sawit dengan lebih pantas. - BERNAMA.

Disiarkan pada: February 16, 2016 @ 7:06am
d