mutakhir

Graduan berjiwa usahawan

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Nerus: Minat mendalam terhadap bidang perniagaan mendorong tiga pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Kimia Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mencuba nasib membuka kedai minuman dikenali Kopi’Leh Dhia Coffee & Tea di Dapo Pata@UptownKontena, di Pantai Tok Jembal, di sini.

Tiga sahabat berusia 23 tahun itu sanggup berkongsi modal RM5,000 bagi merealisasikan impian mempunyai kedai minuman sendiri.

Muhammad Hafiz Asyraf Mat Zaid berkata, dia bersama Zul Helmi Mokhtar dan Safuwan Azhar merebut peluang itu selepas tertarik dengan konsep perniagaan yang menggunakan kontena.

“Kami bertiga menamatkan pengajian tahun lalu tetapi Zul Helmi dan Safuwan menyambung pengajian ke peringkat sarjana sementara saya pula merancang terus berada di Terengganu walaupun keluarga di Kuala Lumpur.

“Sebenarnya, saya berasal dari Terengganu dan suka berniaga. Secara kebetulan, dua sahabat baik pula masih berada di sini dan juga mempunyai minat sama sebelum timbul idea membuka perniagaan,” katanya.

Muhammad Hafiz Asyraf berkata, Kopi’Leh Dhia Coffee & Tea mula dibuka di Shah Alam dan sudah mempunyai peminat tersendiri.

Katanya, ketika ini, terdapat banyak francais minuman kopi dan teh di Terengganu membuatkan mereka mencari kelainan dengan mencari jenama minuman lain daripada lain.

“Kami pilih jenama ini kerana ia masih baru dan yakin ia mampu bersaing dengan jenama lain yang di Terengganu,” katanya.

Bagi Zul Helmi pula, segala persiapan kedai dilakukan sendiri kerana mahu menjimatkan kos memandangkan mereka masih bergelar penuntut ketika itu.

“Proses menghias dan mengubah suai kedai mengambil masa hampir dua bulan. Ketika itu, kami masih bergelar pelajar dan semuanya dilakukan sendiri.

“Pada waktu siang, kami sibuk di kampus sementara waktu malam, kami hanya berada di sini untuk mengubah suai kedai,” katanya.

Safuwan pula berkata, dua lagi penuntut Ijazah Sarjana Muda Sains Kimia turut bekerja sambilan di kedai berkenaan bagi mencari pendapatan sampingan.

“Walaupun baru beroperasi Jumaat lalu, kami berpuas hati dengan sambutan diterima,” katanya.

Disiarkan pada: February 16, 2016 @ 7:10am
d