mutakhir

Geng Pantai samun pelancong

Kuala Lumpur: Sekumpulan penjenayah remaja dikenali ‘Geng Pantai’ dikesan aktif melakukan samun membabitkan pelancong asing sekitar ibu kota sejak sebulan lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Zainol Samah berkata, empat penjenayah berusia 19 tahun itu bagaimanapun berjaya ditahan polis di Jalan Bukit Bintang dan Jalan Nagasari di sini, Selasa lalu.

Menurutnya, dalam kejadian terbaru Selasa lalu itu, dua penjenayah itu cuba menyamun seorang pelancong Korea pada jam 6.20 petang di Jalan Raja Chulan di sini, namun berjaya dihalang orang awam.

“Dua penjenayah itu kemudian melarikan diri dan meninggalkan motosikal di lokasi kejadian.

“Susulan itu, hebahan dilakukan kepada unit peronda dan polis berjaya menahan dua lelaki menaiki motosikal di Jalan Nagasari,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini, semalam.

Zainol berkata, hasil pemeriksaan mendapati dua lelaki ditahan itu menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada rakan mereka yang gagal melakukan samun di Jalan Raja Chulan.

“Susulan maklumat itu, polis berjaya menahan dua penjenayah terbabit di Jalan Bukit Bintang pada jam 7.20 malam.

“Pemeriksaan lanjut mendapati empat penjenayah berusia 19 tahun itu masih belajar di sebuah kolej di ibu kota,” katanya.

Menurut Zainol, polis turut merampas wang pelbagai negara bernilai RM1,000 daripada dompet salah seorang mangsa.

“Semua suspek kini direman bagi membantu siasatan dan polis percaya dapat menyelesaikan tiga kes samun dan ragut di kawasan tumpuan pelancong.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu samun berkumpulan,”katanya.

Disiarkan pada: February 16, 2016 @ 7:19am
d