mutakhir

Isi 9,000 kekosongan PDRM

Melaka: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berharap akan mendapat peruntukan mencukupi bagi membolehkan pengambilan 9,000 pegawai dan anggota baru tahun ini dilaksanakan segera.

Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman Datuk Zulkifli Abdullah berkata, perjawatan baru itu diperlukan segera bagi mengisi 6,000 kekosongan sedia ada selain 3,000 lagi meninggalkan perkhidmatan itu kerana berhenti atau bersara.

Beliau berkata, pihaknya difahamkan kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang mencari jalan mendapatkan peruntukan yang cukup bagi disalurkan kepada PDRM untuk menambah perjawatan baru itu.

“Kami berharap mendapat peruntukan secukupnya untuk melaksanakan proses pengambilan pegawai dan anggota baru, tahun ini.

“Kami menerima sambutan baik daripada orang awam yang memohon untuk menyertai PDRM. Berikutan itu, kami yakin dapat memilih calon yang berkualiti,” katanya.

Terdahulu, beliau menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas antara Datuk Chuah Ghee Lye dengan Datuk Ramli Din yang dilantik sebagai Ketua Polis Melaka yang baru di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka Bukit Beruang, di sini, semalam.

Zulkifli berkata, dalam usaha meningkatkan kualiti anggota PDRM, pihaknya akan memperkenalkan ujian integriti bagi calon yang memohon untuk menyertai perkhidmatan itu selepas ini.

Menurutnya, sebelum ditemu duga, setiap calon akan diteliti dan dipilih mengikut keperluan yang sesuai dengan penugasan semasa.

Disiarkan pada: February 16, 2016 @ 7:35am
d