mutakhir

Majikan usah takut daftar pekerja asing

Putrajaya: Majikan yang menyertai Program Penggajian dan Penempatan Semula Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang bermula hari ini tidak akan didakwa, sebaliknya hanya dikenakan denda RM800 bagi setiap pekerja.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Alwi Ibrahim berkata, mengikut Akta Imigresen, majikan yang mengambil PATI boleh didakwa dan berdepan hukuman penjara serta boleh dikenakan denda sehingga RM10,000.

“Namun, menerusi program ini, tindakan tidak diambil terhadap majikan dan pekerja terbabit, sebaliknya hanya membayar kira-kira RM4,000 untuk proses mendaftarkan pekerja ini secara sah, jadi kita galakkan majikan untuk menyertai program ini dan tidak perlu takut untuk mendaftarkan pekerja mereka.

“Mereka (pekerja asing) sudah berada di sini dan ini adalah satu inisiatif kami untuk memastikan mereka mempunyai dokumen sah, sekali gus dapat mengatasi masalah yang sering dibangkitkan termasuk aspek keselamatan yang menjadi keutamaan kami,” katanya pada sidang media di Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, semalam.

Program yang dilaksanakan sehingga 31 Disember ini dilakukan secara dalam talian ini bertujuan memberi peluang kepada PATI yang bekerja secara haram di negara ini diberikan permit kerja sah bagi memenuhi sektor pekerjaan yang dibenarkan.

Lebih menguntungkan, Alwi berkata, majikan juga mendapat pekerja yang sudah mahir dan biasa bekerja dengan mereka.

Selain itu, katanya, kos keseluruhan pengambilan pekerja melalui program ini juga lebih murah iaitu sekitar RM4,000 berbanding lebih RM10,000 jika pekerja asing baharu yang diambil melalui ejen.

Katanya, bayaran itu sebanyak RM2,185 diperlukan bagi yang menyertai program berkenaan termasuk bayaran pendaftaran RM800, denda RM300 bagi pekerja dan RM500 bagi majikan, bayaran Pas Lawatan Khas Sementara (PLKS) sebanyak RM60, bayaran pemprosesan (RM125) dan caj perkhidmatan (RM400).

Sementara bayaran levi, katanya, bergantung kepada sektor iaitu antara RM1,500 hingga RM2,500.

Pada masa sama, Alwi sekali lagi menjelaskan, cadangan kemasukan 1.5 juta pekerja Bangladesh adalah angka siling kementerian dan ia tertakluk kepada permintaan dan keperluan semasa.

Beliau berkata, kerajaan akan terus mengutamakan pekerja tempatan, namun bagi sektor 3D iaitu sukar, bahaya dan kotor, ia tidak diminati pekerja tempatan menyebabkan kekurangan pekerja dalam sektor ini.

“Jadi, kita membantu industri atau sektor yang memerlukan pekerja asing ini untuk memastikan industri atau sektor seperti perabot, pembuatan dan perladangan boleh terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Mengulas mengenai kenyataan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) yang meminta kerajaan mengkaji semula cadangan membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh, Alwi berkata, sepanjang tahun lalu, Pusat Sehenti Bahagian Pekerja Asing KDN menerima 352,981 permohonan daripada majikan untuk mendapatkan pekerja asing.

Disiarkan pada: February 16, 2016 @ 7:38am
d