mutakhir

Hangus semua

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Padang Terap: “Semua peralatan sekolah dan dokumen peribadi termasuk pasport hangus dan kini saya mahu pulang ke rumah ahli keluarga di Jitra sebelum pulang semula ke Hatyai, Thailand untuk menghabiskan cuti seminggu diberikan pihak sekolah,” kata Mohd Mahdi Abdul Hamid, pelajar warga Thailand.

Mohd Mahdi, 15, antara 116 pelajar lelaki Sekolah Menengah Agama As Siddiqiah, Padang Kerasak, Mukim Tekai, Naka, dekat sini yang tinggal sehelai sepinggang selepas dua blok asrama lelaki didiami mereka musnah dalam kebakaran.

“Keluarga saya berada di Hatyai, Thailand dan begitu bimbangkan keadaan saya di sini. Disebabkan itu, saya mahu pulang bercuti di kampung dan akan menyiapkan segala dokumen terlebih dulu.

“Bagaimanapun, kejadian ini tidak menggugat semangat saya meneruskan pengajian kerana bakal menduduki PT3 tahun ini,” katanya.

Semalam, pihak sekolah itu menerima sumbangan berjumlah RM7,200 daripada pelbagai pihak yang bersimpati dengan nasib menimpa mereka.

Sumbangan awal itu untuk kegunaan semua 116 pelajar dan kegunaan pihak sekolah selepas kerugian hampir RM1 juta apabila dua blok bangunan yang menempatkan asrama serta surau musnah.

Setiausaha Politik kepada Menteri Pendidikan Ahmad Kamel Abdul Munin berkata, beliau yang mewakili Datuk Seri Mahdzir Khalid yang juga Ahli Parlimen Padang Terap menyampaikan sumbangan awal RM5,000 untuk kegunaan pihak sekolah itu membeli barangan keperluan.

Beliau meminta Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) dan pengurusan sekolah mengambil langkah perlu untuk meringankan beban pelajar apabila barangan mereka musnah dalam kebakaran itu.

“Buat sementara waktu, semua pelajar terbabit akan ditempatkan di asrama sementara yang kini dalam proses pembinaan untuk memberi perhatian sewajarnya kepada pelajar terbabit supaya dapat terus belajar,” katanya selepas menyerahkan cek, semalam.

Presiden Rozmey Group (RG) Datuk Dr Che Rozmey Che Din turut memberi sumbangan peribadi RM2,000 yang diserahkan kepada pengetua sekolah Mohd Sidek Junus bagi membantu meringankan beban mereka.

Beliau berkata, bantuan susulan akan diberikan sebanyak RM10,000 untuk membeli semula pakaian seragam sekolah untuk 116 pelajar lelaki yang hangus dalam kejadian itu.

Disiarkan pada: February 16, 2016 @ 7:41am
d