mutakhir

Perkukuh pendidikan khas

Melaka: Pertubuhan Menteri-Menteri Asia Tenggara Bahagian Pendidikan Khas (SEAMEO SEN) bakal memperkukuhkan bidang pendidikan khas melalui bidang pertanian hasil perjanjian persefahaman (MoU) ditandatangani bersama Pusat Serantau Biologi Tropika (BIOTROP).

Melalui persefahaman itu, satu program perintis Pembangunan Kemahiran Hidup Untuk Guru-Guru dan Pelajar Pendidikan Khas diperkenalkan kepada golongan terbabit terutama pelajar pendidikan khas sebagai satu cabang kemahiran.

Pengarah SEAMEO SEN Dr Yasmin Hussain berkata, pelajar khas yang menjalani program terbabit dapat menggunakan kemahiran dipelajari bagi meneruskan kehidupan secara berdikari dan menyumbang tenaga mereka kepada masyarakat.

“Selain mampu berdikari mereka dapat memajukan diri sebagai usahawan pertanian di samping membuka peluang pekerjaan kepada orang lain yang memerlukan. Langkah ini bakal menjadikan mereka satu daripada aset bernilai dalam kalangan masyarakat.

“Sekurang-kurangnya, ibu bapa pelajar terbabit yakin dengan kemahiran tambahan yang diberikan sebagai langkah mendidik anak mereka hidup berdikari,” katanya pada sidang media selepas Majlis Menandatangani MoU itu di Institut Pendidikan Guru Kampus Perempuan Melayu, Durian Daun, di sini, semalam.

Dr Yasmin berkata, pemilihan bidang pertanian yang digabungkan dengan pendidikan khas dilihat dapat menarik minat pelajar khas membaitkan mereka mempunyai masalah pembelajaran seperti pendengaran, penglihatan, autisme, sindrom Down dan berlainan bakat.

Disiarkan pada: February 17, 2016 @ 6:19am
d