mutakhir

Sakit jiwa

Oleh Sarah Zulkifli

Kuala Lumpur: Mahkamah Sesyen di sini, semalam memerintahkan seorang lelaki yang didakwa menikam ibunya dengan pisau di Desa Rejang Setapak Jaya, minggu lalu, menjalani pemeriksaan mental selama sebulan di Hospital Bahagia.

Hakim Balqis Aini Mohd Ali membuat perintah itu terhadap tertuduh, Muhammad Faaris Syahiddin Ahmad, 22, selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Nurakmal Farhan Aziz yang mahu pemeriksaan dijalankan mengikut Seksyen 342 Kanun Acara Jenayah terhadap tertuduh yang dipercayai mengalami sakit mental.

Nurakmal kemudian tidak menawarkan jaminan dan mahkamah kemudian menetapkan 16 Mac ini sebagai sebutan semula kes sementara menunggu laporan kesihatan mental.

Dalam prosiding itu, tertuduh yang memakai kopiah dan kemeja-T hitam itu bagaimanapun tidak diambil pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa sengaja menyebabkan cedera parah terhadap Khariah Hashim, 50, guru sekolah rendah agama Al-Amin, Keramat Permai, dengan menggunakan pisau yang berkemungkinan boleh mendatangkan kematian.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di ruang bawah rumah nombor 31A, Jalan Rejang 2, Desa Rejang, Setapak Jaya di sini, jam 8.30 malam, pada 8 Februari lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat jika bersalah.

Pada 9 Februari lalu, akhbar melaporkan, mangsa cedera di perut, dahi dan kedua-dua tangan selepas ditikam suspek yang dipercayai mengalami sakit mental sebelum lelaki itu akhirnya ditahan anggota unit kereta peronda polis (MPV) Ampang Jaya ketika sedang merayau-rayau selepas dua hari melarikan diri.

Mangsa sudah sedarkan diri tetapi masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Disiarkan pada: February 17, 2016 @ 6:33am
d